Sabtu, 24 Oktober 2015 | 4:28pm

Insentif baru getah akan manfaatkan 300,000 pekebun kecil

KUALA LUMPUR: Lebih 300,000 pekebun kecil di seluruh negara yang sebahagian besarnya tinggal di kawasan luar bandar akan mendapat manfaat daripada keputusan kerajaan untuk menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagi Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

"Peningkatan PHP membolehkan para pekebun kecil getah dengan purata milikan tanah seluas dua hektar dan produktiviti cuplumps sebanyak 3,000 kg/hektar/tahun, meraih pendapatan sebanyak RM1,125 dengan tambahan sebanyak RM125 sebulan apabila harga getah SMR 20 FOB (Free on Board) menurun di bawah paras RM5.50 sekilogram," kata Menteri Perusahan, Peladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan telah memutuskan untuk menaikkan PHP bagi IPG daripada harga SMR 20 FOB RM4.60 sekilogram (harga cuplumps RM1.75 sekilogram) kepada RM5.50 sekilogram (harga cuplumps RM2.20 sekilogram) mulai 1 Januari 2016.

"Selain itu, kami turut menyambut baik keprihatinan yang ditunjukkan Perdana Menteri terhadap keperluan masyarakat di Sarawak, terutamanya lebih 60 peratus penduduknya masih menetap di kawasan luar bandar," katanya dalam satu kenyataan.

"Penyediaan RM70 juta pinjaman tanpa faedah untuk tujuan pembinaan rumah-rumah panjang amatlah dihargai dan dapat meringankan beban mereka yang mahu membina rumah sendiri," kata Unggah.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM115 juta disediakan untuk program khas Bumiputera Sabah dan Sarawak seperti untuk projek Hak Adat Bumiputera dapat terus membantu masyarakat tempatan, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X