Sabtu, 24 Oktober 2015 | 5:01am

Mampukah United gegarkan City di Old Trafford?

KOLUM APA KATA


PADA pertemuan jam 10 malam esok di gelanggang sama, City hadir sebagai sebagai pendahulu liga dengan himpunan 21 mata. - Foto AFP

Pada minggu ke-10 ini, beberapa perlawanan menarik dijangka dapat disaksikan. Paling ditunggu tentunya, pertembungan dua kelab berjiran di Manchester - United dan City di Old Trafford.

Dan tidak ketinggalan juga aksi antara pasukan paling mengejutkan musim ini, West Ham United menentang Chelsea, selain Liverpool bertemu Southampton dan Arsenal-Everton.

Aksi United di laman sendiri malam esok dianggap sangat penting buat Louis van Gaal kerana beranggapan kemenangan akan membuktikan anak buahnya memang layak menjadi pencabar utama kejuaraan liga musim ini.

Mengikut statistik lapan aksi terakhir Manchester Derby, City berjaya memenangi enam daripadanya. Sebelum itu, skuad The Citizens hanya mampu menang enam daripada 42 aksi terakhir jiran tetangga ini.

Dan statistik menunjukkan juga, daripada 12 pertembungan terakhir dua pasukan ini dalam semua pertandingan, tiada keputusan berakhir dengan seri (lima dimenangi United manakala tujuh oleh City).

Dalam aksi terakhir 12 April lalu di Old Trafford yang disaksikan seramai 75,313 penonton, United menang 4-2 menerusi jaringan Ashley Young, Marouane Fellaini, Juan Mata dan Chris Smalling, manakala jirannya itu melalui Sergio Aguero.

Pada pertemuan jam 10 malam esok di gelanggang sama, City hadir sebagai sebagai pendahulu liga dengan himpunan 21 mata, manakala United pula di tempat ketiga dengan hanya ketinggalan dua mata.

Sebelum bertandang ke Old Trafford, City gah dengan kemenangan 2-0 ke atas Sevilla dalam saingan Liga Juara-Juara (CL) pertengahan minggu selain menang besar 5-1 ke atas Bournemouth pada aksi minggu kesembilan.

Tuan rumah pula seri 1-1 dengan CSKA Moscow saingan CL dan membenam Everton, 3-0 saingan EPL terdahulu.

Memang sukar meramalkan keputusan aksi ini, namun saya percaya baik Manuel Pellegrini atau Van Gaal, masing-masing memiliki ramuan untuk menggegarkan Old Trafford malam ini. Namun yang jelas, jika United menang, mereka akan memintas jiran tetangganya itu dan bisa mendabik dada sebagai pencabar utama kejuaraan.

Dalam pada itu, aksi West Ham-Chelsea jam 10 malam ini juga harus mencuri tumpuan. Ini kerana skuad The Hammers sudah pun berjaya menjinakkan tiga gergasi EPL - Arsenal di Emirates (2-0), Liverpool di Anfield (3-0) dan City di Etihad (2-1).

Adakah The Blues akan turut menjadi mangsa malam ini? Tatkala ini sukar untuk penulis ramalkan kerana kedua-duanya memiliki kelebihan. Pun begitu Jose Mourinho tentunya ada strategi memerangkap skuad Slaven Bilic kerana rekod aksi di laman sendiri lawannya itu goyah.


PEMAIN Aston Villa, Joleon Lescott (kiri) bersaing dengan pertahanan, Ramires pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, minggu lalu. - Foto AFP

Liverpool yang menyambut kunjungan Southampton pula harus lebih yakin menang kali ini selepas terikat 0-0 di White Hart Lane minggu lalu dan di Anfield dengan Rubin Kazan saingan Liga Europa, kerana ini adalah aksi pertama Jurgen Klopp di gelanggang sendiri.

Arsenal yang mencipta kejutan menumbangkan juara Jerman, Bayern Munich, 2-0 pada aksi CL pertengahan minggu, dijangka tiada masalah mengenepikan cabaran Everton untuk terus menekan City dan United di puncak. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-10

Aston Villa 1 Swansea City 2

Leicester City 2 Crystal Palace 2

Norwich City 3 West Bromwich 2

West Ham United 1 Chelsea 3

Stoke City 3 Watford 1

Arsenal 3 Everton 0

Sunderland 2 Newcastle United 1

Manchester United 2 Manchester City 1

Bournemouth 1 Tottenham Hotspur 2

Liverpool 2 Southampton 1

Penulis adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Berita Harian X