Jumaat, 23 Oktober 2015 | 9:35pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memeriksa keadaan mangsa kebakaran Nur Maisarah Balqis Rosghazali, 7, dan Nur Qalesya Balqis Rosghazali, 6, selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Taman Tanjung Minyak, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

Dua beradik rentung dalam kebakaran rumah


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memeriksa keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran di Taman Tanjung Minyak, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Dua beradik perempuan ditemui rentung dalam keadaan berpelukan selepas rumah mereka di Taman Tanjung Minyak di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mayat Nur Qhalisha, 7, dan adiknya, Nur Maisarah Balqis Rosghazali, 6, ditemui di bilik tengah rumah berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian, datuk mangsa, Sapiee Mat Dom, 55, berada di kedai makan terletak kira-kira 10 meter dari rumah itu sebelum dimaklumkan rumah anaknya, Rosghazali, 33, terbakar.

"Saya bergegas ke rumah dia (anak) dan lihat dia sedang cuba masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan dua anaknya.

"Saya dan dia cuba untuk masuk ke dalam rumah, namun gagal kerana asap terlalu tebal dan pintu depan juga berkunci dari dalam," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan, ibu mangsa tiada di dalam negeri kerana masih bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi.

Timbalan Penguasa Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Kamaruzaman Mohd Din, berkata seramai 18 anggota, termasuk dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu dan Jalan Kubu dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 5.38 petang.

"Kita sempat menyelamatkan seorang mangsa iaitu bapa kepada dua kanak-kanak berkenaan yang ditemui dalam keadaan sesak nafas.

"Dua mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui saling berpelukan pada jam 5.55 petang. Kita percaya mereka berada di bawah katil untuk menyelamatkan," katanya.

14 dibaca
Berita Harian X