Jumaat, 23 Oktober 2015 | 1:08pm
Kos sara hidup tinggi cabaran utama ekonomi

Kos sara hidup tinggi cabaran utama ekonomi

KUALA LUMPUR: Pembentangan Bajet 2016 hari ini dijangka tertumpu kepada komitmen kerajaan untuk mencapai matlamat jangka panjang menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi pada tahun 2020 dan keupayaan untuk mencapai sasaran defisit fiskal.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata bajet kali ini adalah yang paling sukar bagi kerajaan memandangkan usaha untuk mencapai kedua-dua sasaran berkenaan akan memberikan kesan ke atas perkara lain seperti kos sara hidup.

Malah, tegasnya sukar bagi kerajaan buat masa sekarang untuk bergantung semata-mata kepada pendapatan bagi menyokong sasaran yang ditetapkan, kerana ia juga menghadapi kesulitan dari segi mengurangkan perbelanjaan operasinya.

"Kerajaan pastinya komited untuk mencapai sasaran bajet berimbang, justeru tumpuan pastinya kepada usaha mencapai (sasaran) defisit fiskal untuk tahun ini.

"Namun, ini adalah tempoh yang paling mencabar dihadapi oleh kerajaan kerana pendapatan terjejas disebabkan oleh harga minyak mentah dunia yang rendah," katanya pada taklimat media tinjauan ekonomi suku ketiga 2015 di Kuala Lumpur.


Dr Zakariah Abdul Rashid.

Zakariah berkata, pendapatan tambahan daripada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak April lalu dapat membantu kedudukan kewangan kerajaan, walaupun terdapat tekanan lain berhubung rejim cukai baharu itu.

Justeru, beliau berkata, mekanisme pelaksanaan GST wajar dikekalkan buat masa sekarang sebagai sebahagian daripada Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) untuk mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan pada masa depan.

"Jangan lakukan perubahan ke atas GST, walaupun ada tekanan ke atas kerajaan untuk mengurangkan kadarnya daripada enam peratus kepada lima atau empat peratus. Sudah pasti ada langkah lain untuk mengimbangi kesan pelaksanaan GST, namun ia bukanlah dengan cara mengubah struktur GST itu sendiri.

"GST perlu diberikan masa dan peluang untuk menunjukkan kemampuannya menghasilkan impak positif," katanya.

Bagi menangani isu kos sara hidup, beliau berkata kerajaan perlu meneruskan dasar yang digariskan di bawah Akta Persaingan, yang juga adalah sebahagian daripada SRI.

Dasar berkenaan mungkin mengambil sedikit masa lagi untuk menyerlahkan manfaatnya kepada rakyat.


NURUL Asyiqin Ramli, 19, membeli barang keperluan asas di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dengan harga yang berpatutan di Pudu Sentral, Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

"Dasar ini bermatlamat menjadikan ekonomi lebih cekap dan pada akhirnya boleh menurunkan harga barangan. Kenaikan harga barang menjejaskan kehidupan rakyat kerana ada faktor lain seperti kuasa pasaran terlalu tinggi.

"Satu lagi langkah adalah kerajaan boleh menimbangkan bentuk percukaian lain seperti cukai korporat dan cukai pendapatan individu bagi mengimbangi kesan pelaksanaan GST.

"Sudah pasti cukai korporat dan individu yang lebih rendah akan menjejaskan pendapatan kerajaan, maka itulah tindakan penyeimbangan yang perlu dilakukan kerajaan," katanya.

Zakariah berkata, kerajaan juga perlu meneliti untuk memperkemaskan mekanisme pemberian subsidi bersasar, khususnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana pemberian bantuan kewangan itu mempunyai kelebihan dan kekurangan pada masa sekarang.

Daripada sudut positifnya, BR1M dilihat menyumbang dengan ketara kepada pendapatan isi rumah kumpulan berpendapatan rendah.

"Namun, jika mahu benar-benar menyasarkan BR1M bagi kumpulan tertentu, kerajaan mungkin boleh menggunakan sistem kupon iaitu mereka yang mendapat BR1M perlu dipastikan membelanjakannya untuk barangan keperluan.

"Sekarang ini, apabila penerima BR1M mendapat wang, mereka membeli barangan yang tidak sepatutnya," katanya.

Berita Harian X