Jumaat, 23 Oktober 2015 | 12:12am
IBU Mohd Radzuan, Siti Jubaidah, meninjau rumah lama mereka di Kampung Masapol Lama, Sipitang, Sabah. - Foto Malai Rosmah Tuah
SITI Jubaidah dan suami, Mohd Pirus Matjin menunjukkan keratan akhbar kepada Mohd Radzuan (kanan) di rumah mereka di Kampung Kubu, Beaufort. - Foto Malai Rosmah Tuah
MOHD Radzuan (kanan) bersama keluarganya di hadapan rumah lama mereka di Kampung Masapol Lama, di Sipitang, Sabah. - Foto Malai Rosmah Tuah

Budak terbang bina hidup baharu di Beaufort


SUPERMAN atau budak terbang! Itu gelaran diberi kepada Mohd Radzuan Mohd Pirus, yang pernah diterbangkan angin kencang bersama buaiannya ketika ribut melanda Kampung Masapol Lama, di Sipitang, Sabah, lebih 14 tahun lalu.

Dalam kejadian pada 8 April 2001 itu, Mohd Radzuan yang ketika itu berusia 14 bulan tidur dalam buaian yang disangkut pada alang bumbung sebelum diterbangkan angin bersama bumbung rumahnya sejauh kira-kira 200 meter. Ajaibnya, dia tidak mengalami kecederaan serius.

Ribut tidak sampai dua minit itu adalah paling buruk pernah menimpa penduduk di kawasan terbabit.

BH baru-baru ini menjejak Mohd Radzuan, kini pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort II di rumahnya di Kampung Kubu, Beaufort.

Remaja itu mengakui dia hanya dimaklumkan mengenai tragedi itu tiga tahun lalu.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, pada mulanya dia tidak percaya peristiwa seumpama itu pernah menimpanya 14 tahun lalu, namun mempercayainya selepas melihat keratan akhbar yang masih dalam simpanan ibunya.


MOHD Radzuan pernah diterbangkan angin kencang bersama buaiannya ketika ribut, lebih 14 tahun lalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

"Pada mulanya saya terkejut dengar cerita ibu dan ayah mengenai kejadian itu. Ibu beritahu pada hari kejadian kami tinggal berempat bersama kakak dan abang saya di rumah kerana ayah bekerja di Long Pasia.

"Selepas diterbangkan ribut, ibu beritahu orang kampung cari saya di seluruh pelusuk kampung dan akhirnya seorang jiran menemui saya di belakang rumahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri serta masih dalam buaian," katanya.

Berdasarkan laporan akhbar ini 14 tahun lalu, Mohd Radzuan tidak mengalami kecederaan fizikal atau dalaman susulan kejadian itu, namun berubah sikap, termasuk menangis setiap kali ternampak buaian.

Dia dikatakan berperangai aneh berbanding sebelum kejadian, termasuk tidak mahu lepas daripada dakapan ibunya serta tidak mahu disentuh orang lain walaupun ayahnya sendiri, selain menangis apabila ternampak buaian.

Kejadian itu hampir sama seperti menimpa Nurhasyikin Jainudin, bayi perempuan berusia 18 bulan yang patah paha akibat diterbangkan ribut bersama buaiannya sebelum ditemui di kawasan sawah padi di Kampung Dungang Dua, Tuaran, Julai lalu.

Mengimbau kembali peristiwa itu, ibu Mohd Radzuan, Siti Jubaidah Adol, 49, berkata beliau bersyukur kerana tiada perkara buruk berlaku kepada anak bongsunya itu.

Dalam keadaan sebak, Siti Jubaidah berkata, kejadian itu tidak dapat dilupakan mereka sekeluarga, terutama setiap kali berlaku angin kencang dan hujan lebat.


MOHD Radzuan menunjukkan keratan akhbar mengenai dirinya, 14 tahun lalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

"Sukar untuk menghilangkan terus peristiwa itu dalam ingatan kerana ia berlaku depan mata. Melihat anak hilang dibawa ribut bersama buaiannya, saya seperti kehilangan nyawa.

"Ketika kejadian, angin kuat datang sekelip mata lalu mengangkat atap rumah kami dan lebih mengerikan apabila Mohd Radzuan yang nyenyak tidur dalam buaian diterbangkan bersama atap entah ke mana.

"Saya cuba tarik buaian tetapi gagal kerana terjatuh...keadaan ketika itu amat kelam-kabut," katanya.

Suaminya, Mohd Pirus Matjin, 52, berkata selepas ribut terbabit, mereka sekeluarga masih menetap di Kampung Masapol Lama dan tinggal bersama ibu saudaranya sementara menunggu rumah mereka siap dibaiki.

"Kami masih tinggal di situ selama lapan bulan sebelum mengambil keputusan berpindah ke Beaufort bagi memulakan hidup baharu," katanya.

Berita Harian X