Khamis, 22 Oktober 2015 | 11:50pm
Rakyat nikmati sepenuhnya pertumbuhan jika inflasi dikekang - MIER

Rakyat nikmati sepenuhnya pertumbuhan jika inflasi dikekang - MIER

KUALA LUMPUR: Bajet 2016 dijangka memberi tumpuan untuk meningkatkan perbelanjaan domestik bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara ekoran kelembapan ekonomi global.

Felo Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zulkiply Omar, berkata sebagai sebuah negara perdagangan, eksport Malaysia terjejas akibat kelembapan ekonomi global yang mana sekiranya perbelanjaan domestik dapat ditingkatkan, ia boleh membantu mengatasi masalah berkenaan.

Sambil menyifatkan Bajet 2016 sebagai kesinambungan bajet tahun lalu, beliau berkata tumpuan utama kerajaan pastinya ke arah menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.


EKSPORT Malaysia terjejas akibat kelembapan ekonomi global dan sekiranya perbelanjaan domestik dapat ditingkatkan, ia boleh membantu mengatasi masalah berkenaan.

"Bagaimanapun, yang penting ialah kerajaan juga perlu mengawal serta menurunkan kadar inflasi supaya pertumbuhan ekonomi yang diharap benar-benar dapat dirasai dan dinikmati," katanya dalam temubual dengan BH.

Selain tumpuan meningkatkan perbelanjaan domestik, kerajaan juga dijangka akan memberi perhatian terhadap beberapa isu penting seperti peningkatan kos sara hidup dan kesukaran memiliki rumah akibat harga terlalu tinggi yang menjadi menjadi permasalahan besar kepada rakyat ketika ini.

Secara umum katanya, dua faktor boleh diklasifikasikan sebagai punca perkara itu berlaku iaitu polisi meningkatkan ekonomi domestik yang boleh menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan serta peningkatan harga akibat permintaan tinggi, manakala satu aspek lagi ialah kejatuhan nilai ringgit yang menyebabkan harga barangan terutama produk import menjadi mahal.

"Pada masa sama, peningkatan pendapatan yang tidak seimbang dengan kenaikan harga juga akan memburukkan lagi keadaan," katanya.

Mengenai pendapat mengatakan penghapusan subsidi dan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebagai punca kenaikan harga dan kos sara hidup, Zulkiply berkata, subsidi juga boleh menjadi punca harga meningkat kerana menggalakkan permintaan yang tinggi dan mempengaruhi permintaan dan penawaran.

Beliau berkata, walaupun penghapusan subsidi akan memberi kesan kepada pengguna, untuk jangka panjang ia adalah baik kerana mampu mengurangkan beban kewangan negara di samping mendidik rakyat berbelanja mengikut keperluan sepatutnya.

"GST pula perlu untuk membantu menambah pendapatan negara dan pengenalannya hanya memberi kesan sekali sahaja kepada pengguna yang mana sebaik mereka boleh menyesuaikan diri, keadaan akan kembali stabil," katanya.

Mengulas sejauh mana pencapaian Bajet 2015 setakat ini, Zulkiply berkata, kejatuhan harga minyak global menjejaskan sebahagian pelaksanaannya disebabkan peningkatan kos, namun secara am, kerajaan boleh dianggap berjaya mencapai matlamat mengurangkan defisit bajet seperti yang diharap.

Berita Harian X