Khamis, 22 Oktober 2015 | 5:34pm

Juara Parodi ASTRO tidak sentuh sensitiviti masyarakat

ARTIS dan pelawak pada Program Juara Parodi di Hard Rock Cafe.- Foto Owee Ah Chun.

KUALA LUMPUR: Satu unit khas bakal ditugaskan memantau dan memberi garis panduan kepada peserta program Juara Parodi, kata Naib Presiden, Bahagian Perniagaan Melayu ASTRO, Khairul Anwar Salleh.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan peserta program tidak menyentuh sensitiviti masyarakat ketika melakukan perubahan pada lirik lagu.

Katanya, program baharu itu memberikan kebebasan kepada peserta untuk menggunakan kreativiti menukar lirik namun perlu wujud batas supaya tidak keterlaluan.

"ASTRO sentiasa berusaha menyusun strategi terbaik bagi memastikan program yang ditawarkan menepati cita rasa penonton.

"Melihat kepada trend terkini, kami merasakan idea ini bersesuaian dengan kehendak penonton.

"Namun, kami akan sentiasa memantau lirik lagu yang dihasilkan agar tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak," katanya kepada BH Online.

Khairul berkata, ASTRO mempunyai perancangan untuk menjual semula lagu-lagu yang dikomersilkan menerusi program Juara Parodi.

"Pihak kami sudah membeli hak cipta 120 buah lagu yang akan diparodikan daripada syarikat rakaman dan penerbitan agar tidak timbul salah faham pada masa akan datang.

"Semua lagu-lagu yang bakal digunakan sepanjang program Juara Parodi sudah mendapat kebenaran daripada pihak syarikat rakaman sendiri. Secara tidak langsung, inisiatif ini dapat mengangkat semula lagu-lagu itu," katanya.

Peserta Juara Parodi merangkumi barisan penyanyi dan pelawak iaitu Awie, Misha Omar, Mark Adam, Tomok, Black, Sam Bunkface, Mawi, Firman, Zahid dan Waris.

Turut menyertainya Ajak & Shahrol Shiro, Shuib (Sepahtu), Rahim R2, Joey & Shuk, Zulin Aziz & Sherry, Azlee & Lan Pet Pet, Yus & Tauke Jambu dan Abam & Fad Bocey.

Program Juara Parodi bersiaran secara langsung pada setiap Jumaat, pukul 10 malam di ASTRO Warna (saluran 132) bermula 6 November.

Berita Harian X