Khamis, 22 Oktober 2015 | 3:55pm

Pakatan Harapan tidak perlu di Selangor - Azmin


MENTERI Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali (tengah) menjawab soalan media ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, tidak perlu pembentukan Pakatan Harapan di negeri tiu seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang kerana senario politik di kedua-dua negeri berbeza.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, mesyuarat majlis tertinggi PKR dua minggu lepas telahpun meluluskan resolusi untuk terus bekerjasama dengan semua parti pembangkang termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Tidak perlu pembentukan Pakatan Harapan di Selangor seperti di Pulau Pinang sebab senario politik berbeza.

"Kita telahpun meluluskan resolusi untuk terus bekerjasama dengan PAS, Parti Sosialis Malaysia dan semua parti pembangkang di Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Mohamed Azmin diminta mengulas kenyataan Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Phahrolrazi Zawawi yang meminta kerajaan negeri Selangor membentuk Pakatan Harapan dengan segera di negeri itu.

Phahrolrazi dilapor berkata, penubuhan Pakatan Harapan, membabitkan Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan DAP di Selangor, adalah persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Menurutnya, penubuhan Pakatan Harapan itu tidak akan menggugat kedudukan kerajaan negeri Selangor kerana majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri dikuasai PKR dan DAP.

- BERNAMA

Berita Harian X