Rabu, 21 Oktober 2015 | 12:00am
KUMPULAN Permata Bonda dari Samariang Fasa Tiga mempersembahkan tandak Melayu Sarawak. - Foto Che Rani Che Din

Hiburan moden 'bunuh' warisan bergendang

TRADISI Gendang Melayu Sarawak dikhuatiri lenyap ditelan arus kemodenan tanpa sebarang usaha dilakukan bagi memeliharanya, terutama dalam kalangan generasi muda Bumi Kenyalang.

Ketua Kumpulan Warisan Wawasan, Umar Tomik, 60, berkata tanda-tanda awal warisan itu semakin dilupakan jelas kelihatan apabila sejak kebelakangan ini generasi muda lebih cenderung memilih hiburan moden berbanding aktiviti bergendang, khususnya dalam majlis perkahwinan serta acara keramaian.

"Seiring dengan perkembangan semasa, budaya bergendang semakin tenggelam....hanya golongan tua yang gigih berusaha menghidupkan tradisi itu. Jika ia terus berlarutan, tidak mustahil budaya bergendang yang menjadi identiti Melayu Sarawak akan lenyap," katanya yang berasal dari Kampung Jaie, Sadong Jaya.

Umar bersama kumpulannya ditemui ketika menyertai Pertandingan Gendang Melayu Sarawak - Paluan Perpaduan di Kompleks Pelancongan Sarawak (STC), Tebingan Kuching baru-baru ini yang dianjurkan bersempena Festival Regatta Sarawak 2015.


KESENIAN Melayu Sarawak mungkin lenyap jika generasi muda pilih hiburan moden.

Dirasmikan Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, program itu juga sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam membantu memulihara dan memartabatkan khazanah seni warisan bangsa.

Bercerita lanjut mengenai tradisi itu, Umar berkata ibarat lagu dan irama, aktiviti bergendang tentunya tidak lengkap tanpa 'sheikh gendang' atau pemukul gendang wanita, selain pemain biola dan kumpulan pemantun, yang turut berperanan sebagai penari.

"Dalam tradisi unik ini, 'sheikh gendang' akan mengalun gendang dengan pelbagai rentak dan pantun, manakala penandak akan menjawab pantun berkisarkan perlambangan aktiviti harian mereka secara spontan," katanya.

Bagi memastikan tradisi itu terus subur, masyarakat setempat di Kampung Jaei menubuhkan kumpulan pelapis membabitkan generasi muda, sekali gus memupuk minat golongan itu kepada seni warisan berkenaan.

"Inilah inisiatif yang kita laksanakan agar anak bangsa kita mengenali warisan kesenian dan kebudayaan mereka. Perlu diingatkan, bangga dan 'hidupnya' sesuatu bangsa itu adalah disebabkan kekayaan warisan kesenian dan kebudayaan mereka. Justeru, tradisi ini harus dipulihara," katanya.

Ditanya mengenai kumpulan pimpinannya, Umar menjelaskan sebahagian besar anggota kumpulannya mempunyai pertalian keluarga, malah mereka cukup dikenali sebagai pejuang tradisi Gendang Melayu Sarawak, dengan pelbagai undangan mengadakan persembahan diterima di segenap pelusuk negeri.

Malah, Kumpulan Warisan Wawasan pernah menjuarai Pertandingan Gendang Melayu Sarawak, yang berlangsung di Bandaraya Kuching sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Permata Bonda, Sahmad Dawi, 70, berkata beliau aktif dalam aktiviti bergendang sejak zaman remaja, terutama dalam segmen tarian dan berpantun.

"Sekitar 1960-an, tradisi bergendang sememangnya cukup popular dalam masyarakat Melayu Sarawak, malah boleh dikatakan 'wajib' ada dalam setiap majlis keramaian dianjurkan, terutama majlis perkahwinan sebagai medium hiburan.

"Dari situlah, bermulanya minat saya terhadap tradisi ini sehingga terdorong menubuhkan kumpulan gendang sendiri. Kami pernah mengadakan persembahan untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), malah pernah mendapat undangan hingga ke Brunei Darussalam," katanya.

Sementara itu, sebanyak sembilan kumpulan mengambil bahagian pada Pertandingan Gendang Melayu Sarawak - Paluan Perpaduan, termasuk Kumpulan Sri Kenyalang, Kumpulan Warisan Wawasan, Kumpulan Mukun Kamek I, Kumpulan Mukun Kamek II, Kumpulan Mukun Kamek III, Kumpulan Mukun Kamek IV dan Kumpulan Mukun Kamek V, Kumpulan Temenggong Haji Gobil dan Kumpulan Sehati Sejiwa.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak (KPS) dan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak.

Pada acara kemuncak pertandingan, Kumpulan Sri Kenyalang dinobatkan sebagai juara melalui lagu klasik, Sri Sarawak menewaskan Kumpulan Mukun Kamek IV (Cinta Berahi), masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan RM2,000, selain piala iringan serta sijil penyertaan.

Kumpulan Warisan Wawasan dan Kumpulan Mukun Kamek II pula dipilih sebagai pemenang tempat ketiga dan keempat dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM800 setiap kumpulan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari dalam ucapan perasmiannya. berkata selain menyemarakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan di negeri ini, penganjuran pertandingan itu juga bagi menggalakkan usaha pemuliharaan tradisi berkenaan.

"Adalah merugikan jika warisan tradisi ini tidak dipulihara oleh anak bangsa kita sendiri, seterusnya dibiarkan lapuk ditelan zaman. Justeru, usaha perlu dipergiatkan bagi memulihara warisan kesenian dan kebudayaan ini agar terus kekal untuk tatapan generasi masa depan.

"Malah, keunikan tradisi sebegini harus terus dibangunkan sebagai aset pelancongan, terutama dalam menarik kunjungan pelancong asing ke Bumi Kenyalang," katanya.

19 dibaca
Berita Harian X