Isnin, 19 Oktober 2015 | 9:46am

Bintang otai hangatkan Gegar Vaganza


PESERTA yang layak ke pusingan seterusnya pada konsert sulung program Gegar Vaganza di Auditorium MBSA, malam tadi. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Kehangatan konsert sulung program Gegar Vaganza membuktikan bintang lama masih berupaya mewarnai persada muzik tempatan.

Dua belas penyanyi iaitu Nassier Wahab, Ezad Lazim, Amir Ukays, Nizam Laksamana, Zul Handy Black, Acong Sweetchild, Sheeda, Haiza, Siti Nordiana, Azian Mazwan dan Faradhiya berjaya memukau 1,000 penonton yang hadir ke Majlis Bandaraya Shah Alam, malam tadi.

Malah, Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim selaku juri tetap serta Faizal Hussein sebagai juri jemputan terpesona dengan kemantapan vokal mereka manakala persembahan lagu-lagu yang mempopularkan diri mereka, menggamit nostalgia penonton.

Terkenal dengan sifat tegas dan lantang menyuarakan komen, Ramli secara bergurau mempersoalkan apa yang dimakan oleh barisan penyanyi lama itu kerana mampu mengekalkan kelunakan suara mereka.

Ramli menegaskan, tugasnya selaku juri tetap bukanlah untuk mengajar teknik menyanyi, sebaliknya mengulas kebolehan peserta untuk menyampaikan lagu milik penyanyi lain sebagai cabaran yang harus mereka pikul.

Konsert Gegar Vaganza yang meletakkan bidang kuasa kepada pihak juri menyaksikan tiada penyingkiran pada minggu pertama. Ia melayakkan semua 12 peserta ke minggu hadapan.

Bertemakan Aku dan Dia untuk konsert kedua Gegar Vaganza, peserta diberikan cabaran untuk menyanyikan lagu-lagu popular penyanyi lain yang diletakkan di dalam senarai permintaan mereka.

Musim kedua rancangan Gegar Vaganza mendapat sambutan hangat daripada peminat dan artis tempatan yang turut hadir bagi memberi sokongan kepada rakan seperjuangan mereka. Kemeriahan konsert pertama program itu membuatkan ia terasa bagaikan berada di konsert akhir.

Selain persembahan memberangsangkan daripada penyanyi otai, gandingan Jihan Musa dan Nabil Ahmad selaku pengacara berjaya membuatkan peminat tidak kering gusi dengan keletah bersahaja mereka.

Lawak spontan Jihan dan Nabil mengusik Ramli memecah tawa dewan Bandar Anggerik itu. Jihan dan Nabil turut diberikan tugasan setiap minggu menyanyikan lagu yang dipilih khas buat mereka berdua.

Kesungguhan kedua-dua pelawak itu menyanyikan lagu Memori Daun Pisang nyanyian Iwan dan Amelina sebagai persembahan pembukaan harus diberi pujian.

45 dibaca
Berita Harian X