Isnin, 19 Oktober 2015 | 9:35am

4 maut nahas di Lahad Datu


KEADAAN Proton Iswara (gambar kecil) dan Toyota Hilux selepas kemalangan di Jalan Silam dekat Lahad Datu, pagi tadi. - Foto Latif Ahmad

LAHAD DATU: Empat orang termasuk seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan pacuan empat roda di Jalan Silam, Batu 16 dekat sini, pagi tadi.

Nahas pada jam 6.30 pagi berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Silam itu membabitkan sebuah Proton Iswara dinaiki lima mangsa yang bertembung dengan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Empat manga maut di tempat kejadian ialah pemandu Proton Iswara, Faizal Amsaini, 43; Norhashimah Alpinde, 18; serta dua warga asing dikenali Marjuni Ibnu dan Muntasil Baddi.

Nahas berlaku apabila Proton dinaiki lima mangsa yang juga rakan sekerja dalam perjalanan dari Silam menghala ke bandar Lahad Datu sebelum bertembung dengan pacuan empat roda terbabit yang datang arah bertentangan.

Berikutan pertembungan itu, Proton Iswara kenderaan dinaiki oleh semua mangsa remuk teruk mengakibatkan mereka tersepit.

Pemandu pacuan empat roda terbabit dilaporkan tidak cedera.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Lahad Datu berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.39 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota yang tiba di lokasi 20 minit kemudian.

Berita Harian X