Ahad, 18 Oktober 2015 | 8:00am

FMBH 2015: Yaya Rosly tampil kardigan, tudung terkini

SEBAHAGIAN koleksi pakaian yang dihasilkan Yaya Rosly untuk FMBH 2015.

KUALA LUMPUR: Penggemar fesyen kardigan boleh mendapatkan koleksi terkini daripada pereka muda dengan rekaan lebih bergaya dan sopan mengikut syariat Islam sempena Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015), pada 24 dan 25 Oktober ini.

Sempena FMBH yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC), pereka fesyen, Yaya Rosly juga akan mengedarkan 50 kardigan koleksi terkini dan 100 helai tudung percuma kepada pengunjung terawal fiesta itu.

Yaya berkata, kardigan menjadi trend fesyen terkini untuk menyerlahkan penampilan individu terutama wanita Muslimah yang mahu tampil moden.

Katanya, ketika ini banyak kardigan di pasaran menyediakan potongan rekaan yang terhad, pendek dan kurang bersesuaian untuk wanita Muslimah.

"Sempena FMBH 2015 saya menyediakan koleksi khas untuk wanita Muslimah yang boleh digayakan mengikut cita rasa sendiri sama ada dengan jubah, seluar, palazzo dan skirt labuh.

"Berdasarkan trend fesyen sekarang, ramai yang menggemari kardigan sebagai pelengkap untuk tampil lebih berbeza, kemas dan santai, namun nampak kelas.

YAYA Rosly turut mempromosikan pakaian sedia dipakai yang menepati ukuran dan saiz lelaki di FMBH 2015.

"Saya menggunakan peluang ini untuk memperkenalkan koleksi baharu kardigan dengan perincian yang lebih eksklusif. Kardigan ini adalah keluaran khas untuk fiesta ini dan menariknya pada bahagian tangan kardigan itu dijahit dengan manik dan batu permata dan sesuai digayakan dalam apa juga majlis," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada FMBH 2015 Yaya akan mengadakan pertunjukan fesyen untuk kardigan terbaharu dan mendapatkan koleksi itu di gerai jualan yang turut disertai sepanjang dua hari fiesta itu.

Yaya berkata, menariknya koleksi kardigan itu menggunakan fabrik sifon yang berkualiti dengan pelbagai warna menarik.

"Ia sangat selesa dan mengikut aliran dengan dua rekaan iaitu tangan panjang dan pendek. Pelanggan boleh memilih mengikut kesesuaian dan cita rasa fesyen mereka, " katanya.

Selain itu, beliau yang menghasilkan pelbagai koleksi baju sedia dipakai, blause, kardigan dan menawarkan promosi istimewa untuk koleksi tertentu bermula pada harga RM50 dan ke atas.

YAYA Rosly akan mengedarkan 50 kardigan koleksi terkini dan 100 helai tudung percuma kepada pengunjung FMBH 2015.

Beliau turut mempromosikan pakaian sedia dipakai yang menepati ukuran dan saiz bagi wanita dan lelaki khususnya, di negara ini.

Katanya, kini ramai pereka fesyen menghasilkan rekaan baju sedia dipakai untuk memenuhi cita rasa pelanggan yang cepat berubah mengikut trend terkini.

Wanita bertubuh genit umpamanya sering berdepan dengan kesukaran menggayakan fesyen digemari disebabkan kebanyakan ukuran pakaian di pasaran mengikut standard antarabangsa.

"Saya teliti menghasilkan pakaian mengikut saiz yang tepat supaya pelanggan tidak perlu mengubahnya. Koleksi pakaian sedia dipakai dijamin memberi kepuasan tanpa mengehadkan penampilan mereka," katanya.

Sebelum ini, beliau hanya menawarkan pakaian sedia dipakai mengikut musim, kini ada skirt, jubah lelaki, blaus dan baju kurung tanpa mengira musim, selain menerima tempahan khas termasuk pakaian pengantin dan gaun malam.

"Kali pertama pakaian sedia dipakai dikeluarkan, kami menjual 20,000 helai menerusi konsep 'doorship' dan stokis. Jenama saya sudah menembusi pasaran Singapura, Brunei dan Indonesia," katanya.

 

Berita Harian X