Sabtu, 17 Oktober 2015 | 2:54pm

2 penunggang motosikal berkuasa tinggi maut nahas

ALOR SETAR: Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas kenderaan mereka bertembung sesama sendiri di Jalan Batu 18 Jalan Alor Setar-Sungai Petani dalam kejadian pada 1.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Yan, DSP Muhamad Halim Yatim, berkata kedua-dua mangsa dikenali sebagai Mohammad Shukri Omar, 27, dari Kampung Batu 18 Sungai Baru, Guar Chempedak dan Mohd Syahir Zulkifli, 27, dari Taman Setia, Pendang.

Beliau berkata, pembonceng motosikal iaitu rakan Mohammad Shukri, Mohamad Ridwan Mohamad Rasid, 25, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Yan.

Muhamad Halim berkata, siasatan mendapati Mohd Syahir yang dalam perjalanan dari Kota Sarang Semut ke Sungai Petani, bertembung dengan Mohammad Shukri yang datang dari Guar Chempedak.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Yan untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- BERNAMA

Berita Harian X