Sabtu, 17 Oktober 2015 | 1:37pm

Anggota TUDM maut rempuh belakang lori di lorong kecemasan

ALOR SETAR: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut selepas terlanggar belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di KM66.3 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pendang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Fadzil Hashim, berkata mangsa V Thinagaran, 23, dari Bandar Seri Astana, Sungai Petani, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata, ketika kejadian kira-kira 11.50 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal sedang dalam perjalanan dari kem TUDM Kepala Batas untuk pulang ke rumah keluarganya di Sungai Petani.

Fadzil berkata, lori berkenaan ditinggalkan tanpa pemandu dan polis sedang mengesan pemandu lori terbabit berdasarkan maklumat syarikat yang tertera pada lori itu.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Sementara itu, bapa mangsa, R Vasudevan, 49, berkata anak sulung daripada empat beradik yang berkhidmat dengan TUDM sejak empat tahun lepas itu akan pulang ke Sungai Petani setiap kali hujung minggu.

- BERNAMA

Berita Harian X