Sabtu, 17 Oktober 2015 | 12:01am

Pasta napolitana


PENGGUNAAN tomato segar dalam hidangan pasta, tepati keperluan harian.

MAKANAN ruji orang Itali iaitu pasta, sememangnya enak dimakan bersama gabungan sos, herba dan bahan perasa lain mengikut selera serta kesesuaian.

   Jika bijak mengolah resipi pastinya keenakan berganda dapat dirasai, malah membuatkan anda menambah hidangan beberapa kali.

   Pasta lazimnya dimasak cara carbonara, bolognese dan aglio olio. Bagi penggemarnya, masing-masing mempunyai cita rasa tersendiri kerana setiap hidangan mempunyai rasa yang berbeza.

   Apa kata kali ini, berikan sedikit kelainan dengan mencuba resipi pasta napolitana dari restoran eksklusif SKY360 yang terletak di hotel eCity Subang Jaya, Selangor.

Menggunakan tomato segar sebagai bahan utama, menjadikan sos yang terhasil asli dan penuh khasiat daripada tomato, misalnya kebaikan lycopene yang penting untuk kesihatan tubuh.

 

Khasiat tomato

Cef SKY360, Ahmad Syahir Abdullah, berkata penggunaan tomato dalam hidangan sangat bagus kerana khasiat yang terkandung di dalamnya mampu menandingi sayuran segar lain.

   Katanya, penggunaan tomato segar secara sepenuhnya dalam hidangan pasta napolitana ini menepati keperluan harian seseorang dalam menjaga kesihatan tubuh badan.

   "Tomato berfungsi sebagai antioksidan secara semula jadi bagi melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel penyebab pelbagai penyakit kanser.

   "Selain itu, khasiat tomato juga sesuai untuk dijadikan rutin dalam mengawal berat badan. Ia rendah lemak dan tiada kolesterol malah mengandungi banyak air serta serat yang mampu untuk mengenyangkan perut.

   "Tomato turut bermanfaat untuk membantu memperbaiki penglihatan mata. Ia mengandungi vitamin A dan C sehingga mampu mengurangkan masalah rabun malam. Ia turut menghalang penyakit "macular degeneration" yang menyebabkan kesukaran untuk melihat," katanya kepada FAMILI, baru-baru ini.

 

Banyakkan penggunaan herba

Ahmad Syahir berkata, menu pasta napolitana ini juga sesuai untuk mereka yang menjaga kesihatan, misalnya vegetarian.

   Beliau berkata, antara herba yang digunakan adalah thyme, origano, basil dan banyak lagi.

   "Gabungan pelbagai herba juga menambahkan lagi khasiat sesuatu hidangan itu secara tidak langsung. Walaupun, zaman makin maju, penggunaan herba dalam hidangan tidak harus dilupakan dan patut dikekalkan sampai bila-bila.

   "Herba juga mampu menaikkan aroma hidangan, malah menjadikan ia bertambah enak. Rasa sos yang hanya mempunyai rasa tomato tawar, lebih enak jika ditambah herba," katanya.

   Minggu ini, Aroma Kulinari berkongsi resipi berkhasiat ini supaya rakyat Malaysia dapat menjalani gaya hidup sihat secara berterusan bermula dengan pemilihan pemakanan yang seimbang.

 

INFO: Pasta Napolitana

 

Bahan-bahan:

Untuk sos

*

  • 200 gram (g) bawang merah (dicincang)
  • 100g bawang putih (di cincang)
  • 1 kilogram tomato yang sudah dikupas (dikisar)
  • 2 sudu besar tomato puri
  • 1 sudu kecil daun selasih (dicincang)
  • 1 sudu kecil thyme (dicincang)
  • 1 sudu kecil origano (dicincang)

 

Pasta

  • 500g pasta
  • 6 biji tomato
  • 30g daun parsli
  • 1 sudu besar minyak
  • Garam, gula dan serbuk lada secukupnya

 

Berita Harian X