Jumaat, 16 Oktober 2015 | 7:30am

FMBH 2015: Damaleesignatures perluas pasaran

ANTARA koleksi ditawarkan Damaleesignatures kepada pengunjung Fiesta Muslimah 2015.

KUALA LUMPUR: Butik tudung dan busana Muslimah, Damaleesignatures, adalah satu-satunya wakil dari Sabah dalam kalangan 100 vendor yang akan memeriahkan bazar Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015) pada 24 dan 25 Oktober ini.

Pengasas Butik Damaleesignatures, Dr Nadiah Mohd Aziz, menyifatkan penyertaannya dalam fiesta di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC) itu adalah langkah terbaik untuk meluaskan pasarannya di Semenanjung.

Katanya, penyertaan ini juga membuka ruang dan peluang kepada pelanggan dari Semenanjung, terutama sekitar Lembah Klang untuk membeli-belah secara fizikal.

Beliau bersama kakitangannya sedia datang dari jauh semata-mata untuk menyertai program ini kerana yakin sambutan menggalakkan daripada orang ramai terhadap jenamanya.

Ketika ini, butik Damaleesignatures beroperasi di Plaza Kingfisher, Kota Kinabalu, Sabah; Airport Mall Brunei Darussalam dan Bukit Batok Crescent, Singapura, selain dijual secara atas talian.

"Busana Muslimah dan tudung keluaran kami bukan saja mendapat perhatian dalam kalangan pelanggan tempatan, malah di Singapura, Brunei, Indonesia dan United Kingdom.

"Perniagaan ini cepat berkembang selepas diperkenalkan sejak dua tahun di pasaran. Permintaan tidak pernah putus termasuk pasaran di luar negara sekali gus menunjukkan rekaan tudung pengusaha tempatan mampu memikat selera peminat fesyen dunia," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

TAWAR 100 tudung percuma kepada pengunjung terawal FMBH 2015.

Sempena FMBH 2015, Damaleesignatures juga akan mengedarkan 100 tudung percuma kepada pengunjung terawal fiesta terbabit.

Dr Nadiah berkata, selama ini, pelanggannya dari Semenanjung hanya mendapatkan produk butiknya secara atas talian, tetapi sepanjang penyertaan dalam FMBH 2015 mereka boleh datang melihat sendiri dan merasai material sebelum membeli kerana turut menyediakan pelbagai promosi menarik.

"Walaupun kuasa membeli menerusi atas talian mendapat sambutan baik, tetapi ada dalam kalangan pelanggan lebih gemar melihat dan mencuba tudung sebelum membeli," katanya.

Beliau berkata, pelbagai jenama dan rekaan tudung yang banyak muncul di pasaran termasuk dalam kalangan artis disifatkan positif dalam mewujudkan persaingan yang sihat dan mewarnai industri fesyen Muslimah tempatan.

Mengenai misi meneroka pasaran di luar negara, Dr Nadiah berkata, jenama yang diasaskannya sudah mempunyai empat koleksi iaitu umminajji, azreenville, qyarayounaz dan emma rachman.

"Kita sentiasa berusaha keras termasuk membuat penyelidikan untuk melihat trend pasaran di negara ini cepat berubah mengikut aliran terkini dan cita rasa pelanggan " katanya.

FMBH 2015 diadakan bertujuan memartabatkan fesyen Muslimah tempatan itu diadakan pada skala besar dengan 100 gerai jualan pelbagai jenama fesyen.

Pengunjung berpeluang mendekati selebriti tempatan dan ikon fesyen kegemaran selain membeli-belah sambil berhibur.

Program secara percuma itu akan diserikan dengan kehadiran selebriti, Neelofa, selain pengunjung dihiburkan persembahan nyanyian oleh Ayda Jebat, Adira, Najwa Latif, Hafiz Hamidun, Caliph Buskers dan Asfan.

Berita Harian X