Rabu, 14 Oktober 2015 | 7:06pm
PERDANA Menteri Turki, Ahmet Davutoglu. - Foto Reuters

Kurdis Syria: Turki beri amaran kepada AS, Russia

ANKARA: Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu, hari ini memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) dan Russia mengenai bantuan ketenteraan dan sokongan politik yang "tidak boleh diterima" kepada puak Kurdis Syria untuk memerangi kumpulan militan IS di Syria.

Terdahulu, Turki memanggil Duta AS dan Russia bagi memberi amaran berhubung pembekalan senjata dan sokongan kepada pasukan Kurdis Syria yang memerangi IS.

"Kami mempunyai pendirian yang jelas. Pendirian itu sudah disampaikan kepada Amerika Syarikat dan Russia.

"Turki tidak boleh menerima sebarang kerjasama dengan pertubuhan pengganas yang melancarkan perang terhadap kami," kata Davutoglu.

Sementara itu, pegawai Kementerian Luar Turki memaklumkan bahawa Duta AS dan Russia dipanggil ke kementerian semalam "bagi menyampaikan pandangan Turki" mengenai Parti Perpaduan Demokratik (PYD) iaitu kumpulan utama Kurdis di Syria.

"Amaran perlu sudah dikeluarkan," kata pegawai itu.

Turki menganggap PYD sebagai kumpulan sampingan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang melancarkan pemberontakan berdarah sejak 1984. - AFP

Berita Harian X