Selasa, 13 Oktober 2015 | 9:17pm

SDEB jangka bayar dividen kepada pemegang saham pada 2048


PLAZA Tol di Lebuhraya Senai. - Pasir Gudang Desaru Expressway Berhad - Foto Dazar Suarman

JOHOR BAHRU: Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) menjangkakan membayar dividen kepada empat pemegang sahamnya pada 2048, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mustaza Salim.

Beliau berkata, ini berikutan SDEB gagal mencatat sebarang keuntungan sepanjang enam tahun beroperasi dan mengunjurkan tiada keuntungan akan dicatatkan hingga tahun 2048.

"Bermula 2009 hingga sekarang, kita tidak pernah mencatat keuntungan, malah dua kali menstrukturkan semula kewangan.

"Penstrukturan itu bagi menurunkan kadar faedah dan bayaran tahunan terhadap sukuk yang dikeluarkan pada 2009," katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Lebuhraya Senai-Pasir Gudang-Desaru di sini, hari ini.

Dalam perjanjian asal konsesi itu, SDEB sepatutnya dikenakan kadar faedah sebanyak 8.5 peratus daripada RM940 juta sukuk yang dikeluarkan, bagaimanapun meminta kadar faedah itu dikurangkan kepada 6.5 peratus pada 2014.

Mustaza berkata, meskipun peratusan kadar faedah itu dikurangkan, jumlah faedah yang perlu dijelaskan hingga tahun 2048 masih tinggi iaitu kira-kira RM350 juta.

"Ini menyebabkan kita tidak pernah membayar dividen dan sekalipun dibayar, ia hanya dapat dilakukan pada 2048 selepas melunaskan semua hutang (faedah dan bayaran tahunan sukuk)," katanya.

Saham SDEB dipegang oleh empat entiti iaitu Rancak Bistari Sdn Bhd, YPJ Holdings Sdn Bhd, Ranhill Berhad dan Tabung Infrastruktur Bank Pembangunan Islam.

Dalam pada itu, katanya beliau tidak melihat kenaikan harga tol di Lebuhraya Senai-Desaru yang akan berkuat kuasa Khamis ini, akan membantu pihaknya menjana keuntungan.

Beliau berkata, ini disebabkan sebahagian besar hasil akan digunakan untuk melunaskan hutang kadar faedah dan bayaran tahunan sukuk, manakala selebihnya bagi menanggung kos penyelenggaraan dan operasi lebuh raya itu.

Kenaikan tol antara 80 sen dan RM4.70 itu membabitkan kenderaan kelas satu hingga empat di empat plaza tol keluar di lebuh raya tersebut iaitu Plaza Tol Senai, Ulu Tiram, Cahaya Baru dan Bandar Penawar.

- BERNAMA

Berita Harian X