Isnin, 12 Oktober 2015 | 11:14pm

Sepasang kekasih ditahan disyaki edar dadah

GEORGETOWN: Polis menahan sepasang kekasih yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di susur masuk Jambatan Pulau Pinang, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dua suspek berusia 30-an cuba melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Satria ketika diarah memberhentikan kenderaannya di Jalan Datuk Ismail Hashim, Bayan Lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Siti Nor Salawati Saad, berkata berikutan tindakan suspek cuba melarikan diri ke arah Jambatan Pulau Pinang, anggota polis yang menunggang motosikal terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kenderaan.

Katanya, kereta suspek turut melanggar beberapa penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Batu Uban sebelum terbabas dan melanggar tiang jambatan.

"Pemeriksaan kemudian menemui dadah jenis heroin seberat 2.2 gram dan syabu seberat 0.8 gram disimpan di dalam beg sandang.

"Ujian air kencing ke atas suspek mendapat kedua-dua mereka positif dadah," katanya dalam kenyataan di sini.

Berikutan kejadian itu, seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Siti Nor Salawati berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek lelaki mempunyai enam rekod jenayah berkaitan dadah.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X