Selasa, 30 September 2014 | 6:39pm

62,000 peserta sertai maraton Jambatan Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Seramai 62,000 orang mendaftar untuk menyertai Asics Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang 2014 (APBIM) yang dijadual berlangsung di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) pada 16 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan negeri, Danny Law Heng Kiang berkata dengan sambutan amat menggalakkan itu, beliau yakin sasaran 70,000 pelari dapat dicapai - sekali gus mengatasi rekod tahun lalu iaitu seramai 50,000 peserta.

"APBIM tahun ini juga dijangka mencipta rekod dunia iaitu maraton terpanjang di jambatan iaitu sejauh 24 kilometer.

"Berdasarkan penyertaan yang kami peroleh, lebih 30,000 pelari yang mendaftar adalah peserta dari luar Pulau Pinang dan penyertaan dari luar negara juga meningkat," katanya pada sidang akhbar selepas menerima penajaan di sini, hari ini.

Acara maraton itu dibahagi kepada lima kategori iaitu maraton penuh lelaki dan wanita (42.195km); separuh maraton lelaki dan wanita (21km); 10km lelaki dan wanita; 10km remaja lelaki dan perempuan dan 'Fun Run'.

Law yang juga pengerusi jawatankuasa pertandingan itu berkata tarikh tutup asal penyertaan bagi semua kategori ialah hari ini tetapi dilanjutkan lagi bagi membolehkan lebih ramai pelari menyertainya.

Maklumat lanjut mengenai perlumbaan itu boleh diperoleh di www.penangmarathon.gov.my. - BERNAMA

Berita Harian X