Isnin, 12 Oktober 2015 | 10:48am

Menteri ketuai misi promosi minyak sawit ke AS


MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan mengetuai Misi Penggalakkan Minyak Sawit ke Amerika Syarikat (AS) selama dua hari mulai 14 Oktober.

Delegasi beliau terdiri daripada wakil kementerian berkenaan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan wakil sektor swasta.

Misi berkenaan bertujuan memperkukuh eksport minyak sawit ke US dan menggalakkan hubungan perniagaan antara sektor swasta di Malaysia dan rakan mereka di AS.

Menurut kenyataan kementerian, Douglas akan merasmikan dan menyampaikan ucaptama pada Forum Minyak dan Lelemak Dunia (GOFF) 2015 di Los Angeles pada 14 Oktober.

Acara anjuran bersama MPOB dan MPOC itu antara lain bermatlamat mempromosi dagangan minyak sawit menerusi penyebaran maklumat mengenai perkembangan terkini dalam industri minyak sawit kepada pengilang dan pengimport.

GOFF 2015 dijangka dihadiri 100 peserta yang terdiri daripada wakili syarikat swasta AS.

Selain itu, Douglas juga akan mengadakan perbincangan dengan wakil sektor swasta yang bertujuan meneroka peluang-peluang bagi memperkukuh eksport produk minyak sawit dengan eksport bernilai RM4 bilion pada 2014.

Eksport ke AS menyumbang 4.5 peratus jumlah eskport dunia bagi produk minyak sawit.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2015, eksport minyak sawit Malaysia ke AS bernilai RM783.09 juta.

Komoditi lain yang di eksport ke AS pada 2014 terdiri daripada kayu dan produk kayu bernilai RM2.44 bilion, getah dan produk getah bernilai RM4.48 bilion, produk koko bernilai RM552.55 juta dan produk lada hitam bernilai RM3.33 juta.

- BERNAMA

72 dibaca
Berita Harian X