Ahad, 11 Oktober 2015 | 3:56pm

D.H Boutique sumbang 100 tudung untuk Fiesta Muslimah BH

KUALA LUMPUR: D.H Boutique menyumbangkan 100 tudung menjadikan keseluruhan lebih 700 helai tudung percuma daripada pelbagai jenama bakal diberikan kepada pengunjung pada Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015), pada 24 dan 25 Oktober ini.

Pengasas D.H Boutique, Danish Hassan, berkata penyertaan kali kedua dalam FMBH 2015, yang akan diadakan di Pusat Pameran Konvensyen MATRADE (MECC) membuktikan BH terus relevan untuk mendekatkan akhbar ini dengan pembaca.

Katanya, berdasarkan penyertaan beliau pada acara sama, di Zebra Square, Kampung Pandan, pada tahun lalu, dapat dilihat sambutan begitu memberangsangkan dan sewajarnya FMBH dianjurkan setiap tahun.

Beliau yakin penganjuran tahun ini lebih hebat dengan penambahan 100 gerai jualan dan pengisian menerusi pelbagai acara lain bercorak Islamik.

"Oleh itu, saya bersedia memberi 100 tudung percuma sebagai ucapan terima kasih kepada BH yang menjadi medium mengukuhkan lagi jenama ini dan usahawan lain bertemu dengan lebih ramai pengunjung," katanya dihubungi, di sini, hari ini.

Sebagai pereka fesyen yang sudah berkecimpung enam tahun dalam bidang itu, Danish yakin fiesta sebegini menjadi trend dan wadah kepada butik serta usahawan atas talian memasarkan produk Muslimah mereka.

Katanya, kuasa membeli orang ramai begitu tinggi menerusi bazar jualan kerana mereka boleh memilih pelbagai jenama fesyen di bawah satu bumbung dengan harga berpatutan.

Sempena FMBH 2015, D.H Boutique juga akan menawarkan harga runtuh untuk koleksi jubah, blause dan skirt sedia ada. Saya mengeluarkan beberapa rekaan terbaharu mengikut cita rasa trend fesyen terkini sepanjang dua hari fiesta itu.

"Harga koleksi jubah saya yang menggunakan fabrik berkualiti dijual bermula pada harga RM79 hingga RM259 manakala ada juga koleksi tempahan khas baju kurang, abaya, kaftan dan gaun pengantin mengikut cita rasa pelanggan bermula dengan harga RM500 dan ke atas.

"Ada antara rekaan saya dipakai oleh selebriti dan orang kenamaan," katanya.

Danish berkata, lebih 20,000 pengikut tegar Instagram D.H Boutique dijangka memberi sokongan kepada jenama itu untuk mendapatkan koleksi terbaharu keluarannya.

Selain akhbar, media sosial memainkan peranan besar untuk meningkatkan sesuatu jenama.

"Saya menjangkakan selain pengikut Instagram sedia ada dan dapat memperkenalkan D.H Boutique kepada pelanggan baharu mengenali produk ini," katanya.

Pada FMBH 2014, Danish bergabung dengan pelakon, Norman Hakim yang menyediakan jubah lelaki dan koleksi kurta di bawah koleksi Danishandhakim.

Katanya, misi beliau ialah mahu berdakwah menerusi fesyen Muslim dan Muslimah yang dilihat sekarang semakin mendapat tempat dalam industri ini.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh layari d.h_boutique.

14 dibaca
Berita Harian X