Ahad, 11 Oktober 2015 | 7:38am

Fiesta Muslimah BH 2016: 2 gerai tawar kasut, tudung percuma

Kuala Lumpur Kasut dan tudung percuma menunggu pelanggan terawal serta pemenang cabutan bertuah di dua gerai vendor yang menyertai Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015) di Pusat Pameran Konvensyen MATRADE (MECC), di sini pada 24 dan 25 Oktober ini.

Hadiah tudung ditawarkan oleh 11th Empire kepada pemenang cabutan bertuah yang layak disertai dengan pembelian di gerai vendor berkenaan, manakala sepasang kasut percuma bernilai RM50 menunggu pengunjung awal ke gerai KasutComel88 yang menjual kasut getah berwarna-warni atau lebih dikenali 'jeli'.

Pengasas 11th Empire, Dr N M Kamil, berkata pihaknya menyediakan pelbagai hadiah menarik, termasuk koleksi tudung, jubah, gaun, blaus dan aksesori seperti kerongsang, pin serta rantai leher kepada pelanggan yang membuat pembelian di gerainya.

"Setiap pembelian melayakkan pelanggan menyertai cabutan bertuah dan berpeluang menang hadiah di gerai kami sepanjang dua hari FMBH 2015," kata pengasas jenama yang menggabungkan beberapa pereka fesyen tempatan dan menawarkan koleksi pakaian Muslimah, termasuk gaun kanak-kanak itu.

Tumpu kepada jubah

Beliau berkata, gabungan pereka fesyen di bawah jenama 11th Empire lebih menumpukan kepada jubah lelaki dan wanita dengan sentuhan tradisional yang membezakannya dengan koleksi jubah Muslimah lain di pasaran, selain pakaian Muslimah dengan corak batik tenun, songket dan pua kumbu.

"Kami juga ada jubah sedondon untuk lelaki dan wanita yang diperincikan dengan tenunan songket dari Terengganu, selain koleksi seluar dihasilkan dengan motif batik tenun dan pua kumbu," katanya yang menyifatkan FMBH 2015 sebagai idea bernas bagi mengenengahkan bakat pereka fesyen muda tempatan, terutama dalam memartabatkan fesyen Muslimah.


Dr N M Kamil

Sementara itu, Pemilik KasutComel88, Nur Syahirah Ibrahim yang teruja dengan penyertaan pada FMBH 2015, berkata lebih 1,000 pasang kasut wanita pelbagai potongan akan dijual di gerainya sepanjang fiesta kali ini yang unik kerana kelainan dan kepelbagaian produk yang ditawarkan.

"Kasut adalah pelengkap gaya," katanya yang menyertai 100 gerai jualan lain pada FMBH 2015, termasuk yang dibuka oleh selebriti tempatan seperti Neelofa, Emma Maembong, Rozita Che Wan dan Memey Shuaiza.

Fiesta ini adalah anjuran kali kedua oleh BH bagi memartabatkan fesyen Muslimah tempatan dan kali ini, ia diadakan pada skala besar dengan penyertaan pelbagai jenama fesyen dan menyasarkan lebih 80,000 pengunjung.

Berita Harian X