Ahad, 11 Oktober 2015 | 7:24am

Pemerintah wajib diterajui orang Melayu Islam

Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Rabu lalu bahawa pemerintahan di negara ini wajib diterajui orang Melayu beragama Islam boleh dilihat sebagai penegasan bahawa tidak ada tempat kepada pemimpin Cina DAP menjadi Perdana Menteri, walaupun pembangkang menang pilihan raya umum.

Jelasnya, ideologi dan teori yang memisahkan ajaran agama dengan politik, ekonomi serta pengurusan masyarakat tidak mampu mengawal gejala fanatisme dan cauvinisme. Penegasannya dibuat bukan atas dasar taksub kepada bangsa atau agama, tetapi berdasarkan sejarah dan atas asas Islam, tegas Hadi.

"Wajib ditegakkan kepemimpinan negara beragama Islam daripada bangsa Melayu. Hanya Islam yang mempunyai roh perhitungan beribadat kepada Allah SWT dalam aspek pemerintahan serta ada perhitungan dosa pahala terhadap segala tindakan kerajaan dapat memimpin masyarakat majmuk dengan adil dan berkebajikan terhadap semua," katanya.

Boleh terima teguran

Andainya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup, beliau juga akan berkata perkara sama. Hanya kerana ada perkataan 'demokratik' pada nama DAP, tidak bermakna parti itu boleh berlaku adil, menjamin kebaikan atau keamanan. "Kita boleh terima teguran, kritikan dan nasihat jika kita buat salah dari segi nas, hadis atau tidak betul dari Qurannya. Tapi jangan sampai peringkat nak lawan semata-mata turut demokrasi. Ertinya demokrasi sudah bertukar jadi agama." (Baca Kelantan: Universiti Politik Terbuka oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nilam Puri, 1995 hal 145).

Semasa hayatnya, beliau cuba mentarbiyah DAP mengenai negara Islam dan hukum hudud, tapi gagal. Selama menjalinkan hubungan politik lebih 20 tahun, DAP tetap menentang PAS sehingga berpecah Ogos lalu. DAP menolak hudud kerana menganggap hukum Islam yang diasaskan lebih 1,400 tahun lalu tidak boleh diguna dalam negara majmuk seperti Malaysia. Kata Nik Aziz, hujah DAP tak boleh dipakai.

"Mereka menolak atas dasar masyarakat Malaysia berbilang bangsa. Mana ada tempat di muka dunia ini tidak majmuk? Sejak zaman Nabi hingga zaman kita hingga ke Kiamat semakin majmuk. Tuhan buat Melayu, Cina, India, Siam, Arab, malah semuanya daripada Tuhan belaka. Tuhan itu jugalah yang buat langit, bumi Quran dan hukum hudud. Jadi kenapa Cina (DAP) tak boleh terima? Apa sebab mekanik yang sama, nat dan skru yang sama tapi bila hendak pasang tak boleh?"

Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

"Hudud bukan kita yang reka. Kita ambil langkah berhati-hati. Kita bentuk firma, panggil peguam, pensyarah universiti, ulama dan bekas Ketua Hakim Negara buat hudud. Kita minta fatwa daripada Datuk Mufti dan ambil tandatangan Sultan. Kita dah buat cukup syarat semua sekali. Hudud ni diluluskan oleh sebuah negeri, bukan oleh saya seorang atau oleh tok guru pondok beberapa orang. Tapi masih ditolak mentah-mentah. Tidak pandai berkawan demo ni. Nampak sangat sifat ego." (hal 57-58, 103-104)," katanya.

Marah pemimpin DAP kutuk Hadi

Nik Aziz juga pasti marah kepada pemimpin DAP yang mengutuk Abdul Hadi selepas berpecahnya Pakatan Rakyat dan bekas pemimpin PAS yang turut menghina serta bersekongkol dalam Pakatan Harapan. "Yang tak reti Islam cakap Islam memang bahaya. Jangan main benda ni. Jangan kita tertipu seperti budak-budak kecil dengan kereta steamroll, pakat pusing benda itu, pusing benda ini. Ini kerja bahaya. (Jangan) kata pemimpin PAS jahil, tidak beriman atau suka pecah belah. Biarlah kata kat ambo seorang ini jahil. Tapi Ustaz Hadi takkanlah jahil. Dia mengaji betul benar di universiti... bila kita caci sangat ulama atau tok guru dan agama, akan timbul kelak pandangan lekeh kepada para nabi pula sebab ulama adalah pewaris nabi." (hal 33, 50).

Nik Aziz pernah meninggalkan pesan, yang barangkali beliau akan tujukan kepada pemimpin yang buang bai'ah dengan PAS dan ahli yang meninggalkan jemaah untuk masuk Parti Amanah Negara (PAN) jika masih hidup. "Di zaman kecil, kita main kucing buta. Ambil kain balut muka kita sendiri, mata kita tutup, telinga pun tutup. Nak tengok tak boleh, nak dengar tak boleh, jadi macam mana orang nak berjalan? Sama ada dia duduk tak boleh pergi ke mana-mana atau dia turut orang. Ke mana saja orang heret dia turut. Turun ke sawah, dia turun ke sawah. Ke jalan raya, dia ke jalan raya. Ke mana saja dia lintang pukang sebab mata, telinganya sudah dibungkus. Seperti inilah orang taksub, ertinya orang yang turut bulat-bulat pemimpin mereka.

"Surat khabar ada sebut orang Melayu masuk DAP. Kenapa ada orang Melayu di pantai barat rela jadi calon DAP? Saya fikir orang Melayu itu sudah tak nampak dan tak peduli halal haram. Masa depan Islam semakin gelap. Orang Islam akan hanya tinggal nama Mamat, Saleh, Timah itu saja. Hati perut mereka sudah kosong daripada semangat Islam." (hal 129).

Berita Harian X