Khamis, 8 Oktober 2015 | 10:03pm

ASEAN sokong pelan tindakan untuk kerjasama tenaga - Ongkili


MENTERI Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Tenaga dan Mesyuarat Berkaitan (AMEM) Ke-33 yang berakhir hari ini, menyokong Pelan Tindakan Untuk Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) bagi mencapai jaminan, aksesibiliti dan kemampanan tenaga bagi rantau ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata, APAEC adalah dokumen penting yang akan membimbing dan membolehkan negara ASEAN menggembleng sumber dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Ia akan membantu kita mencapai kesambungan tenaga serta memperkasa ASEAN ke arah komuniti lebih hijau," kata Ongkili pada majlis penutup AMEM Ke-33 di sini, hari ini.

Ongkili berkata, negara ASEAN sentiasa terbuka kepada perbincangan mengenai sebarang perkara dalam usaha mencapai konsensus dan situasi menang-menang untuk semua pihak terbabit.

"AMEM sudah membangunkan pelbagai program besar lebih 10 tahun lalu, iaitu Grid Tenaga ASEAN (APG) dan grid saluran paip ASEAN dan sentiasa terbuka kepada kerjasama dan perkongsian sumber.

"Kerjasama dalam tenaga adalah sangat teknikal. Jadi ia bukanlah mudah seperti memperdagang barangan dan perkhidmatan. Tetapi kita melakukannya selangkah demi selangkah berasaskan keupayaan setiap negara," katanya.

Ongkili berkata, usaha untuk merealisasikan APG tidak lama lagi, akan meningkatkan kesambungan di kalangan negara anggota ASEAN. Mengenai industri nuklear di rantau ASEAN, Ongkili berkata, perkara itu masih dikaji dan dibincang.

Sementara itu, Ongkili berkata, sasaran mencapai 23 peratus campuran tenaga pada 2025 akan memberi sumbangan besar kepada usaha global menangani perubahan iklim dan menunjukkan kesungguhan ASEAN mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

AMEM 2015 menjadi satu platform untuk menjalin kerjasama lebih erat ke atas tenaga di kalangan negara ASEAN, rakan kongsi dialog serta agensi tenaga antarabangsa.

Mesyuarat itu yang bermula pada 5 Oktober dihadiri delegasi daripada 10 negara anggota ASEAN, rakan kongsi dialog ASEAN dan pihak yang berkaitan. Mesyuarat akan datang akan diadakan pada minggu ketiga September 2016 untuk Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN+3 Mengenai Tenaga Ke-13 di Myanmar. - BERNAMA

Berita Harian X