Khamis, 8 Oktober 2015 | 8:32pm

Shahril kuatkan skuad hoki remaja negara di Johor


PERLAWANAN persahabatan pemain kebangsaan senior dengan pemain kebangsaan junior di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, Isnin lalu. - Foto Hasriyasyah Sabduin

KUALA LUMPUR: Penyerang kebangsaan, Shahril Saabah tersenarai dalam 18 pemain yang dipilih mewakili skuad remaja negara ke Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru bermula 11 hingga 18 Oktober ini.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan selain Shahril yang juga pemain TNB, jurulatih skuad remaja negara, Arul Selvaraj turut menyenaraikan dua pemain UniKL, Meor Muhammad Azuan Hassan dan Muhd Haziq Samsul.

Kedua-dua pemain itu turut mewakili skuad kebangsaan sewaktu kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium pada Jun lepas.

Selain Malaysia sebagai tuan rumah, turut menyertai edisi kelima Piala Sultan Johor adalah juara dua kali India, Jerman, Argentina, Great Britain dan Australia.

Kejohanan jemputan antarabangsa bawah 21 tahun di Johor itu adalah medan pemanas badan untuk skuad remaja kebangsaan sebelum menghadapi Kejohanan Remaja Asia di Kuantan, Pahang dari 14-22 November ini.

Empat pasukan terbaik daripada Kejohanan Remaja Asia layak ke Kejohanan Remaja Dunia 2016 di India, Disember tahun depan.

Namun menurut Persekutuan Hoki Asia (AHF), sekiranya India gagal menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik di Kuantan, hanya tiga slot akan diberikan kepada tiga negara Asia ke Kejohanan Remaja Dunia 2016.

KHM sebelum ini meletakkan sasaran layak ke Kejohanan Remaja Dunia 2016 untuk skuad remaja kebangsaan.

Senarai 18 Pemain:

Nik Mohd Aiman Nik Rozemi (Terengganu); Mohd Ashran Hamsani, Muhd Najib Abu Hassan(kapten), Meor Muhamad Azuan Hasan, Muhd Haziq Samsul, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan (kesemuanya pemain Perak); Nor Azrul Abd Rahman, Norsyafiq Sumantri, Muhd Amirol Aideed Md Arshad, Muhammad Shahril Saabah, Zulpidaus Mizun (Kuala Lumpur)

Muhammad Firdaus Omar, Mohammad Ridzwan Azmi (Melaka); Abdul Khaliq Hamirin (Sabah); Mohd Adi Fazri Ab Rahim (P.Pinang); Muhd Azwar Abd Rahman (Kedah); Muhd Aminuddin Mohd Zain (Kelantan); Muhd Najmi Farizal Jazlan (Perlis). - BERNAMA

Berita Harian X