Khamis, 8 Oktober 2015 | 4:07pm

Mercedes-Benz kekalkan harga buat masa ini


MODEL Mercedes-Benz C- Class baharu. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd akan mengekalkan harga bagi tempoh jangka pendek dan sederhana sekalipun ringgit sekarang dalam keadaan turun naik.

Naib Presiden, Mark Raine, berkata syarikat akan melakukan yang terbaik untuk melindungi pelanggan dan terus dengan strategi penetapan harga jangka panjang bagi jenamanya di Malaysia.

"Seperti perniagaan lain, kami juga terjejas dengan turun naik ringgit. Namun kami akan memanfaatkan sepenuhnya instrumen kewangan untuk mengehadkan kesan.

"Kami sentiasa memantau dan menyemak semula kadar tukaran asing," katanya selepas mengumumkan keputusan kewangan suku ketiga syarikat, di sini hari ini.

Mengikut Raine, jika keadaan turun naik mata wang kekal untuk jangka panjang, pengeluar kereta berpangkalan di Jerman itu mungkin menimbang kemungkinan menyesuaikan harga kenderaan bagi pasaran Malaysia.

Mengenai pengecualian duti eksais bagi model hibrid bagi model dipasang di Malaysia (CKD) yang dijadualkan hujung tahun ini, beliau berkata syarikat memohon tempoh lanjutan.

"Kami dalam proses (memohon) dan optimis dapat meneruskan dengan harga semasa bagi model hibrid kami," katanya.

Berhubung prestasi jualan suku ketiga, jualan kereta Mercedes-Benz Malaysia bagi tahun ini, setakat ini melonjak 70 peratus kepada 8,196 unit daripada 4,817 unit yang dijual dalam tempoh sama pada 2014.

Setakat Ogos 2015, ia menjual 7,194 unit, mengatasi jumlah keseluruhan bagi tahun kewangan 2014 yang mencatatkan 6,932 unit, sekali gus mencipta satu lagi rekod.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Clause Weidner, berkata C-Class adalah penyumbang utama dalam pertumbuhan, mencatatkan jualan sebanyak 861 unit, peningkatan 219 peratus bagi suku ketiga berbanding suku sama tahun lalu.

- BERNAMA

Berita Harian X