Khamis, 8 Oktober 2015 | 11:47am
OH My English! dikatakan mempunyai persamaan sitkom popular dari Britain berjudul Mind Your Language yang pernah bersiaran sejak 1977 hingga 1986.
ANTARA rekaan kasut di bawah jenama ZapatoS by Zain Saidin. - Foto Twitter
ZAIN bersama anaknya, Aaisyah Dhia Rana. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ZAIN dan anaknya Aaisyah Dhia Rana.
ZAIN bersama isteri, Che ta dan anak mereka.

Watak Henry Middleton berbekas di hati - Zain Saidin

SEPANJANG karier seninya meluncur laju sejak 2009, Zain Saidin yang juga suami tersayang kepada Rozita Che Wan, tidak menafikan watak guru bahasa Inggeris, Mr Henry Middleton dipegangnya amat berbekas di hati.

Malah ia meninggalkan impak tersendiri dalam kerjaya lakonannya. Watak itu dijayakan oleh Zain selama empat musim, termasuk beberapa telefilem yang membabitkan siri hiburan pendidikan, Oh My English! di Astro itu.

Di fahamkan siri berkenaan khabarnya akan melabuhkan tirainya tak lama lagi.

Zain sendiri ketika ditemui BH Plus baru-baru ini mula terdengar bahawa siri itu akan bertemu pengakhiran.

Namun di sebalik itu, Zain sedar karakter itu akan terus berbekas di hatinya sekalipun jika sirinya tidak disambung lagi.

"Ada yang menganggap saya berjaya membawakan watak guru itu dengan sehabis baik dan cukup semula jadi namun saya tak rasa begitu pula.

"Jika ada yang memuji dan menyifatkan saya membawakan watak itu dengan bagus, pastinya saya gembira," katanya kepada BH Online.


ANTARA aksi Zain dalam drama Oh My English!

Pernah mempunyai pengalaman dan latar belakang menjadi jurulatih kecergasan di pusat gimnasium beberapa tahun lalu banyak membantu Zain meresap karakter guru itu dengan baik.

"Biarpun tak menjadi guru di alam realiti, watak ini kiranya merealisasikannya. Pasti semua sedar tugas guru itu sendiri sangat mulia," katanya.

Bagi Zain, drama Oh My English! mempunyai persamaan dengan sitkom popular dari Britain berjudul Mind Your Language yang pernah bersiaran sejak 1977 hingga 1986.

"Memang saya banyak melihat drama itu sebagai contoh dan rujukan. Ibu dan kakak saya sendiri menonton drama Mind Your Language itu.

"Jadi sejujurnya saya banyak memahami perjalanan watak saya di Oh My English! dengan drama itu dan dikembangkan dengan sebaik mungkin menerusi kreativiti diri," katanya.

Selain berlakon, Zain kini mengikuti jejak isterinya menceburi dunia perniagaan. Bagaimanapun, beliau memilih untuk melawan arus dengan menjalankan perniagaan menjual kasut di bawah jenama ZapatoS by Zain Saidin.

Zapatos diambil dari bahasa Sepanyol yang membawa maksud kasut. Zain turut bertindak mereka rekaan bagi kasut yang ingin dijualnya itu.


ZAIN Saidin (kiri) ketika memegang watak guru bahasa Inggeris, Mr Henry Middleton.

"Alhamdulillah sambutan yang diterima setakat ini amat baik. Perancangan ke arah ini bermula sejak tahun lepas dengan rakan kongsi saya.

"Kami mahu menjual kasut dengan kualiti yang bagus dan nampak seperti rekaan mahal tetapi dijual pada harga mampu milik. Paling mahal kasut ini dijual pada harga RM250 dan semurah RM150.

Ditanya mengapa memilih perniagaan kasut, Zain berkata ia sangat sinonim dengan dirinya.

"Nak kata obses dengan kasut mungkin juga. Tetapi sebelum ini saya lebih obses dengan kasut sukan dan bukannya kasut untuk gaya kasual seperti Zapatos.

"Pendek kata, saya serba tahu dalam soal kasut. Kasut Zapatos ini dibikin di Sepanyol. Kalau nak tahu lebih boleh layari Instagram @zapatosshoes23," katanya.

Mengenai kehidupan, Zain bersyukur dikurniakan isteri seperti Rozita Che Wan yang dikahwininya pada Disember 2013.

Malah ketika ini, Zain mula mengenali warna diri sebenar wanita istimewa berkenaan yang disifatkan suka cakap lepas tetapi mempunyai hati yang sangat baik.

"Saya cuba sedaya upaya untuk menjadi suami yang bertanggung jawab kepadanya. Walaupun dia tua daripada saya, pengalaman yang ada padanya cukup berharga.

"Dia juga banyak memberi nasihat contohnya dalam selok belok dunia perniagaan. Saya tak lihat itu sebagai satu masalah dan sentiasa terbuka dengan nasihat atau pandangan sesiapa termasuk isteri sendiri," katanya.


ZAIN akui bersyukur dikurniakan isteri seperti Rozita Che Wan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Mengenai Che Ta, beliau berkata: "Rozita orangnya jenis yang cepat marah dan sedikit suka berleter. Tapi apa yang dia bebelkan itu selalunya perkara untuk kebaikan saya sendiri.

"Dia memang jenis yang cakap berdepan dan tak suka simpan demi menjaga hati orang. Selalunya apabila wujud situasi ini, akan wujud perbalahan kecil antara kami, namun apa yang dia sampaikan dan tegur itu memang ikhlas.

"Cuma saya pada mulanya yang tak biasa dengan keadaan itu akan jadi buat saya tersinggung, tersentap serta terasa hati.

"Tapi dia tak berniat pun nak kecilkan hati saya. Macam sekarang paling ketara, dia akan 'carut' dan kritik berat badan saya, mentang-mentanglah dia sudah kurus dan ramping," katanya berseloroh.

Ditanya mengenai perkembangan anak hasil perkongsian hidupnya dengan Rozita, Zain memberitahu Aaisyah Dhia Rana kini sudah mula boleh bertatih tetapi belum dapat berjalan lagi. Aaisyah kini sudah 11 bulan.

"Kalau bab merangkak memang merata dia pusing dalam rumah. Tetapi dia anak yang bijak. Dia pun sudah pandai bertepuk.

"Dirinya sangat ceria dan sentiasa gembira memang menggambarkan jelas peribadi ibunya. Dia akan mudah tersenyum dan cepat selesa dengan orang," katanya.


KARAKTER guru bahasa Inggeris, Mr Henry Middleton terus berbekas di hati Zain sekali pun jika siarannya tidak akan disambung lagi.

INFO: Zain Saidin

  • Drama Suraya yang disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 menjadi drama pertama lakonannya.
  • Tarikh 11 Disember 2013 (111213) turut menjadi pilihan Rozita dan Zain Saidin untuk bernikah.
  • Drama Kiah Pekasam terbitan Zeel Production yang dilakonkan Zain dan Rozita antara yang memutik perkenalan dan bibit cinta antara mereka.
Berita Harian X