Khamis, 8 Oktober 2015 | 9:25am

2 lagi maut nahas bas di Yong Peng semalam

KLUANG 07 October 2015, ( BH / METRO / NST ) Lokasi kemalangan bas dengan lori tanker di Kilometer 94.1 Lebuh Raya Utara Selatan, menghala ke selatan. STR/Ihsan Bomba Johor

BATU PAHAT: Dua lagi mangsa kemalangan membabitkan dua bas dan sebuah lori tangki di Kilometer 94.1 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Yong Peng, petang semalam, disahkan turut terbunuh menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut dalam nahas itu kini seramai lima orang.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, kira-kira jam 8 malam tadi.

Katanya, ia menjadikan jumlah keseluruhan yang terbunuh seramai lima orang membabitkan empat warga China manakala seorang lagi rakyat tempatan dikenali sebagai L Gothandam berusia 46 tahun iaitu pemandu lori terbabit.

Katanya, semua mayat masih menjalani proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut masih dirawat di hospital.

Semalam, tiga warga China terbunuh selepas sebuah lori tangki dari arah Johor Bahru merempuh dua bas yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur.

Kejadian turut mengakibatkan 11 penumpang cedera manakala 24 lagi dari bas berasingan terselamat.

Berita Harian X