Rabu, 7 Oktober 2015 | 3:49pm

200 penduduk Kampung Sungai Bongkok, Gurun terjejas banjir kilat

GURUN: Sebanyak 50 rumah membabitkan 200 penduduk di Kampung Sungai Bongkok, di sini, terjejas akibat banjir kilat yang melanda kira-kira 8 malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Lt M (PA) Azahar Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.05 malam dan tiba di lokasi 40 minit kemudian.

Menurutnya, air naik sehingga paras satu meter, dan sebuah pusat pemindahan turut dibuka di surau kampung tersebut, bagaimanapun mangsa enggan berpindah.

"Kira-kira 12.30 malam, hujan mula reda dan paras air kembali surut dan berada pada paras selamat, pada 1 pagi, operasi tamat," katanya kepada Bernama, hari ini.

Sementara itu, Azahar berkata sebanyak lima kenderaan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Muda dan Yan, dengan kekuatan 21 pegawai dan anggota dari kedua-dua daerah, digerakkan ke lokasi kejadian.

- BERNAMA

Berita Harian X