Rabu, 7 Oktober 2015 | 12:05am
KEGIATAN pertanian yang dijalankan di tanah rizab sungai antara faktor yang menyumbang pada pencemaran sungai. - Foto Badrul Kamal Zakaria
SUNGAI Muar cetek dan berlumpur memburukkan masalah penerobosan air masin sekali gus menjejaskan mutu air mentah. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Johor bina pintu air di Sungai Muar, elak krisis air


KERAJAAN Johor bercadang membina sebuah pintu air bendungan rendah di Sungai Muar untuk menghalang penerobosan air masin dari Selat Melaka memasuki sungai itu, sekali gus mengelak berlakunya krisis air.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata untuk tujuan itu, satu kajian lebih terperinci akan dijalankan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti kesesuaian dan kos pembinaannya.

Katanya, fenomena penerobosan air masin berlaku berikutan paras air laut yang semakin meningkat hingga menyebabkan air masin dapat memasuki Sungai Muar hingga ke hulu dan menjejaskan kualiti air tawar di situ.

"Pintu air bendungan rendah ini dapat mengelakkan air masin laut memasuki sungai terutama pada musim kemarau dan mengurangkan kesan fenomena itu terhadap air tawar.

"Masalah ini juga berlaku disebabkan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), termasuk kerja meluruskan sungai yang dijalankan di beberapa bahagian di Sungai Muar," katanya kepada BH.


PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat. - Foto Hairul Anuar Rahim


PENGHADANG yang dibina bagi mengelak penerobosan air masin di Sungai Kuantan.

BH sebelum ini melaporkan isu fenomena penerobosan air masin di Sungai Muar sehingga 43 kilometer ke bahagian hulu, yang boleh menyebabkan krisis air di daerah Muar dan Melaka dalam tempoh kurang 10 tahun.

Laporan empat siri itu turut mengupas fenomena berkenaan yang bukan hanya menjejaskan bekalan air bersih untuk kegunaan penduduk, malah memberi impak dari segi ekonomi, terutama kepada sektor industri pembuatan berasaskan elektronik dan makanan pada masa depan.

Malah, beberapa pakar kualiti air dan geologi menegaskan fenomena itu turut mengganggu ekosistem sungai hingga menyebabkan beberapa hidupan akuatik seperti udang galah di sungai terbabit kini diancam kepupusan.

Ayub berkata, kerajaan negeri juga mengarahkan agensi berkaitan untuk membuat pemantauan rapi terhadap sebarang pencerobohan tanah rizab sungai di negeri ini secara berterusan.


GRAFIK menunjukkan kawasan populasi udang galah Sungai Muar iaitu antara kawasan Sungai di Kampung Sabak Awor dan Kampung Jorak. Bagaimanapun, pencemaran air menjejaskan habitat dan pembiakan udang galah.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menceroboh tanah rizab sungai kerana ia boleh menjejaskan sumber air.

"Kami minta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memantau tanah rizab sungai ini terutama di kawasan yang jauh dari penempatan penduduk. Ambil tindakan jika ada pencerobohan.

"Kesedaran masyarakat juga perlu ditingkatkan kerana tindakan menceroboh tanah rizab sungai ini akan menyebabkan sumber air bersih menjadi berkurangan," katanya.

Berita Harian X