Selasa, 6 Oktober 2015 | 12:32pm

Pencari madu lebah parah jatuh pokok di Besut

BESUT: Seorang pencari madu lebah parah selepas terjatuh dari pokok setinggi lebih 10 meter ketika sedang mengambil madu lebah di Hutan Bukit Puteri, dekat sini petang semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Yusof Draman, 33, dari kampung Padang Tapong Jerteh, patah kaki kanan dan tulang belakang.

Dia dikatakan pergi mencari madu lebah di kawasan hutan berkenaan bersama seorang rakannya.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Jerteh, Mustafa Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 2.52 petang sebelum menghantar lima anggotanya ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

Katanya, pasukannya yang dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengambil masa lebih sejam mengeluarkan mangsa dari kawasan kejadian.

"Apabila tiba di tempat kejadian anggota saya mendapati mangsa tidak sedarkan diri dan sedang dibawa keluar oleh penduduk kampung. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mustafa berkata mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian Kelantan untuk rawatan lanjut. -BERNAMA

Berita Harian X