Selasa, 6 Oktober 2015 | 12:07am
LOGO acara Fiesta Muslimah BH 2015

Pakaian sedondon unik buat suami isteri


PELAKON, Norman Hakim dan isteri, Memey Suhaiza memperagakan pakaian sedondon untuk lelaki dan wanita berjenama Melyana. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

PELBAGAI jenama fesyen Muslim dan Muslimah di pasaran memberi kelebihan kepada orang ramai membuat pilihan terbaik mengikut cita rasa masing-masing.

Permintaan yang tinggi dalam industri ini menjadikan semakin ramai yang menceburi bidang perniagaan berasaskan pakaian Muslimah.

Menampilkan kelainan dalam rekaan, pelakon Norman Hakim dan isterinya, Memey Suhaiza, memperkenalkan jenama sendiri, Melyana, yang mengkhusus kepada pakaian sedondon untuk lelaki dan wanita.

Memey yang akan membuka bazar jualan di Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015) di Pusat Pameran Konvesyen MATRADE (MECC) pada 24 dan 25 Oktober ini, mengeluarkan koleksi terkini dengan mengutamakan fesyen mengikut tuntutan syariat Islam tetapi menyuntik elemen moden serta elegan.


MEYLANA turut menyediakan koleksi tudung dan selendang pelbagai rona dan motif serta jubah untuk wanita dan lelaki. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Katanya, perkembangan industri fesyen Muslimah yang semakin baik memberi ilham kepada pasangan itu mengeluarkan label pakaian sendiri.

Inisiatif menghasilkan jenama sendiri bermula selepas Memey kerap menghiasi beberapa koleksi pakaian bagi butik atas talian.

"Sejak dulu, saya terdedah dengan dunia fesyen, selain kerap menghiasi beberapa koleksi pakaian Muslimah. Setiap kali saya menggayakannya, ramai yang bertanya.

"Ini menguatkan semangat saya membuka butik dengan jenama sendiri. Sejak setahun lalu, saya menghasilkan jenama sendiri dan dijual secara atas talian dan menyertai bazar," katanya.

Sementara itu, Norman yang menjadi tulang belakang perniagaan itu, berkata pembukaan butik berkenaan bulan lalu dianggap sebagai hadiah usaha mereka yang bekerja keras selama ini.

"Kini, pelanggan boleh datang ke butik kami di Dataran Wangsa Melawati, Wangsa Melawati, Hulu Klang untuk melihat sendiri koleksi," katanya.


KOLEKSI 'Normey Couple Set' itu nampak lebih istimewa digayakan suami dan isteri. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Meylana unik kerana menyediakan koleksi pakaian sedondon khas untuk pasangan suami isteri dikenali sebagai 'Normey Couple Set'.

Norman berkata, koleksi itu nampak lebih istimewa apabila suami dan isteri memakai bersama.

"Apabila suami isteri menggayakan koleksi ini tetapi bergambar berasingan, ia dilihat sebagai biasa. Namun, aura koleksi akan timbul apabila pasangan bergambar bersama," katanya.

Norman nyata teruja menyertai FMBH 2015 bagi memperkenalkan dengan lebih dekat koleksi terbarunya.

Beliau berkata, penyertaan itu tepat pada masanya kerana dapat bertemu peminat yang menunggu keluaran Melyana.

"Meylana turut menyediakan koleksi tudung dan selendang pelbagai rona dan motif serta jubah untuk wanita dan lelaki," katanya.

Berita Harian X