Selasa, 30 September 2014 | 8:38am

Sastera kebangsaan bukan hak eksklusif sesuatu kaum

BAHASA kebangsaan di negara kita adalah milik seluruh rakyat. Jika seluruh warga Malaysia berkongsi satu tanah air yang sama, demikian jugalah semangat yang dituntut terhadap perkongsian bahasa kebangsaan.

Sesuatu bahasa kebangsaan, terutamanya di sesebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai bangsa atau kaum, menjadi lebih bermakna jika semua penduduknya menggunakan bahasa kebangsaan itu. Di Amerika Syarikat dan England umpamanya, walaupun kepelbagaian penduduknya menyerlahkan juga keanekaan budaya, tetapi dalam konteks berbahasa, mereka memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dan bahasa kebangsaan mereka.

Puncak keindahan bahasa terdapat di dalam karya sastera, yang menjadi produk budaya sesuatu masyarakat. Dalam hal ini, terutamanya yang berkaitan dengan sastera kebangsaan di Malaysia, ia turut memerlukan penyertaan serta sumbangan daripada penulis pelbagai kaum yang terdapat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Sungguhpun pada asalnya bahasa Melayu yang diangkat menjadi bahasa kebangsaan ini adalah bahasa tuturan serta persuratan orang Melayu, tetapi ia menjadi 'lingua franca' yang luar biasa di alam Melayu sejak ratusan tahun yang lalu. Dengan demikian tidak hairanlah jika sesiapa saja yang pernah tinggal atau berurusan di alam Melayu, akan memahami atau menguasai bahasa Melayu.

Pengaruh bahasa Melayu yang luas adalah sifat bahasa yang terus berkembang. Di dunia ini terdapat beberapa bahasa utama yang terus berkembang kerana faktor tertentu. Antara faktor utama adalah penjajahan moden yang merebak sejak abad ke-16.

Penjajahan Inggeris di Afrika dan Asia, serta Perancis khususnya di Afrika Utara umpamanya, menyebabkan bahasa Inggeris dan Perancis turut tersebar. Ia berlaku kerana penjajahan yang lama telah turut memberi peluang pendidikan formal kepada anak-anak tempatan, dan sebilangannya melanjutkan pelajaran ke England atau Perancis.

Sebahagian anak tempatan dari tanah jajahan yang terdidik dalam bahasa Inggeris atau Perancis umpamanya, menguasai bahasa kedua itu dengan baik sekali. Malah, mungkin bahasa Inggeris atau Perancis mereka lebih baik daripada bahasa ibunda masing-masing. Dengan memiliki kekuatan bahasa itu, mereka berani menceburkan diri dalam penulisan kreatif.

Jika sejak kemunculan sastera Inggeris dan Perancis - sehinggalah abad yang lalu, menyaksikan hanya penulis berbangsa Inggeris atau Perancis melahirkan karya kebangsaan mereka, muncul pula pengarang baharu daripada negara bekas tanah jajahan, atau yang terdidik dalam bahasa asing itu.

Di India, antara pengarang novel Inggeris yang terkenal ialah Mulk Raj Anand dengan karyanya Untouchable (1935), dan R K Narayanan dengan novelnya Bachelor of Arts (1937). Di Afrika, pengarang dalam bahasa Inggeris yang ternama termasuklah Chinua Achebe (Things Fall Apart, 1958), Gabriel Okara (The Voice, 1964), Wole Soyinka (The Interpreters, 1965) dan Wa Thiong'o Ngugi (Weep Not Child, 1964).

Kita juga menyaksikan fenomena yang sama di Jerman melalui karya Emine Sevgi, dan di Perancis melalui novel Tahar Ben Jelloun. Kazuo Ishiguro yang menulis novel dalam bahasa Inggeris, juga bukti wujudnya fenomena ini, sehingga pada tahun 1987 beliau dianggap sebagai 'Britain's leading young novelist.'

Gambaran di atas meyakinkan kita bahawa, dalam konteks Malaysia, sastera Melayu bukanlah milik ekspresif - kreatif bangsa Melayu saja. Sejak era sastera Melayu tradisional, kita menyaksikan syair dicipta oleh ulama-pujangga berdarah Arab, biografi yang ditulis oleh pengarang berdarah India, dan seterusnya bangsawan dan pantun daripada golongan Baba.

Sejak kita merdeka, sastera Melayu moden menerima sumbangan daripada penulis berketurunan Cina, India, Siam, Kadazandusun dan Iban. Akan tetapi dalam tempoh satu dekad yang lalu kita melihat fenomena sumbangan penulis pelbagai kaum ini surut, atau menjadi berkurang, terutamanya daripada penulis keturunan Cina, India dan Siam.

Pihak yang diberi tanggungjawab untuk mengembangkan sastera kebangsaan wajar mengatasi fenomena ini dengan berkesan. Sastera kebangsaan kita bukan milik ekspresif-kreatif bangsa Melayu saja, malahan bukan milik eksklusif lepasan aliran sastera saja.

Perkembangan sastera kebangsaan kita akan menanjak tinggi, serta akan menjadi lebih perkasa, apabila penulis pelbagai kaum serta latar belakang budaya turut berkarya serta tekal menghasilkan karya kreatif dalam bahasa Melayu.

Berita Harian X