Isnin, 5 Oktober 2015 | 6:10pm

Azmin anggap tuduhan wujud komplot guling Wan Azizah berniat jahat


TIMBALAN Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Tuduhan wujudnya komplot untuk menggulingkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berniat jahat, kata timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, dakwaan itu juga adalah fitnah semata-mata yang cuba disebarkan oleh individu bankrap.

"Apa saja perkara yang kita bincang dalam parti tidak perlu kita dedahkan pada media.

"Tuduhan ini adalah berniat jahat dan adalah fitnah oleh individu yang sudah bankrap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kreatif Digital Selangor di I-City di sini hari ini.

Menteri Besar Selangor itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard, yang mendakwa wujud kumpulan pemimpin kanan PKR bertujuan menggulingkan Dr Wan Azizah.

Badrul Hisham, menerusi laman blognya (http://chegubard.blogspot.my), semalam turut mendakwa kumpulan terbabit dipercayai didalangi beberapa pemimpin kanan parti yang kurang senang dengan tindakan Dr Wan Azizah mengumumkan penyertaan PKR dalam pakatan baharu pembangkang pada 22 September lalu.

-- BERNAMA

163 dibaca
Berita Harian X