Isnin, 5 Oktober 2015 | 6:01pm

Polis buru warga Nigeria bantu kes langgar lari

MELAKA: Seorang lelaki warga Nigeria diburu polis bagi membantu siasatan kes langgar lari dua remaja berusia 14 tahun masing-masing maut dan koma di Jalan Klebang Kecil di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai melarikan diri selepas kereta yang dipandunya melanggar motosikal yang dinaiki dua remaja berkenaan dalam kejadian pukul 11.45 malam tadi.

Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal iaitu Muhammad Khairul Fiqri Johari meninggal dunia di Hospital Melaka manakala pemboncengnya, Muhammad Syafiq Arshad koma dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital sama.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu suspek bersama rakan senegara dan teman wanitanya memotong sebuah kereta sebelum melanggar motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.

"Suspek serta dua penumpang kereta berkenaan cuba melarikan diri tetapi dua penumpang itu sempat ditahan orang awam yang berada di lokasi kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shaikh Abdul Adzis berkata teman wanita pemandu berkenaan, warga tempatan berusia 51 tahun, dan rakan senegara suspek berusia 30 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada pukul 2.30 pagi.

Sehubungan itu polis sedang melancarkan gerakan menjejaki suspek berkenaan yang dipercayai seorang pelajar universiti swasta di negeri ini.

Sementara itu, Shaikh Abdul Adzis berkata polis juga sedang memburu seorang lelaki anggota kumpulan samun yang dipercayai melakukan samun bersenjata di dua premis perniagaan di Taman Melaka Raya dan Gajah Behrang di sini pada Sabtu lalu

"Siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 29 tahun itu mempunyai tiga rekod lampau masing-masing melibatkan dua kes samun dan satu kes merusuh pada 2004," katanya.

Beliau berkata setakat ini polis berjaya menahan dua anggota kumpulan itu yang berusia 21 dan 29 tahun di sekitar Kampung Banda Kaba pada hari sama kira-kira 5.30 petang.

Katanya kedua-dua lelaki berkenaan direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan. -- BERNAMA

Berita Harian X