Isnin, 5 Oktober 2015 | 3:44pm

Penutupan TASKA perlu dapat persetujuan ibu bapa

KUALA LUMPUR: Pengusaha pusat jagaan dan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) perlu berunding dan mendapat persetujuan ibu bapa terlebih dulu sebelum mengambil sebarang tindakan, termasuk menutup premis berikutan keadaan berjerebu ketika ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagaimanapun menyarankan semua aktiviti di luar premis pusat jagaan dan TASKA dihentikan sehingga kualiti udara kembali pulih.

"KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memantau keadaan semasa jerebu. Kementerian juga menyerahkan kuasa kepada Pengarah Negeri JKM untuk mengambil sebarang tindakan sewajarnya berdasarkan keadaan semasa jerebu.

"Jika berlaku penutupan sementara, arahan itu adalah terkecuali dari Seksyen 16(1)(a) Perintah untuk menutup sementara Taman Asuhan Kanak-Kanak oleh Ketua Pengarah JKM dalam Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (Akta 308) 1984," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Berita Harian X