Isnin, 5 Oktober 2015 | 3:30pm

FMBH 2015: Norman-Memey tampil dengan fesyen Melyana

KUALA LUMPUR: Pelbagai jenama fesyen Muslim dan Muslimah di pasaran memberi kelebihan kepada orang ramai membuat pilihan terbaik mengikut cita rasa masing-masing.

Permintaan yang tinggi dalam industri ini menjadikan semakin ramai yang menceburi bidang perniagaan berasaskan pakaian Muslimah.

Menampilkan kelainan dalam rekaan, pelakon Norman Hakim dan isterinya, Memey Suhaiza, memperkenalkan jenama sendiri, Melyana, yang mengkhusus kepada pakaian sedondon untuk lelaki dan wanita.

Memey yang akan membuka bazar jualan di Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015) di Pusat Pameran Konvesyen MATRADE (MECC) pada 24 dan 25 Oktober ini, mengeluarkan koleksi terkini dengan mengutamakan fesyen mengikut tuntutan syariat Islam tetapi menyuntik elemen moden serta elegan.

Katanya, perkembangan industri fesyen Muslimah yang semakin baik memberi ilham kepada pasangan itu mengeluarkan label pakaian sendiri.

Inisiatif menghasilkan jenama sendiri bermula selepas Memey kerap menghiasi beberapa koleksi pakaian bagi butik atas talian.

"Sejak dulu, saya terdedah dengan dunia fesyen, selain kerap menghiasi beberapa koleksi pakaian Muslimah. Setiap kali saya menggayakannya, ramai yang bertanya.

"Ini menguatkan semangat saya membuka butik dengan jenama sendiri. Sejak setahun lalu, saya menghasilkan jenama sendiri dan dijual secara atas talian dan menyertai bazar," katanya kepada BH sini.

Sementara itu, Norman yang menjadi tulang belakang perniagaan itu, berkata pembukaan butik berkenaan bulan lalu dianggap sebagai hadiah usaha mereka yang bekerja keras selama ini.

"Kini pelanggan boleh datang ke butik kami di Dataran Wangsa Melawati, Wangsa Melawati, Hulu Klang untuk melihat sendiri koleksi," katanya.

Meylana unik kerana menyediakan koleksi pakaian sedondon khas untuk pasangan suami isteri dikenali sebagai 'Normey Couple Set'.

Norman berkata, koleksi itu nampak lebih istimewa apabila suami dan isteri memakai bersama.

"Apabila suami isteri menggayakan koleksi ini tetapi bergambar berasingan, ia dilihat sebagai biasa. Namun aura koleksi akan timbul apabila pasangan bergambar bersama," katanya.

Norman nyata teruja menyertai FMBH 2015 bagi memperkenalkan dengan lebih dekat koleksi terbarunya.

Beliau berkata, penyertaan itu tepat pada masanya kerana dapat bertemu peminat yang menunggu keluaran Melyana.

"Meylana turut menyediakan koleksi tudung dan selendang pelbagai rona dan motif serta jubah untuk wanita dan lelaki," katanya.

FMBH 2015 diadakan bertujuan memartabatkan fesyen Muslimah tempatan itu diadakan pada skala besar dengan 100 bazar jualan pelbagai jenama fesyen.

Pengunjung berpeluang mendekati selebriti tempatan dan ikon fesyen kegemaran selain membeli-belah sambil berhibur.

Program secara percuma itu akan diserikan dengan kehadiran selebriti, Nur Fazura, selain pengunjung dihiburkan persembahan nyanyian oleh Ayda Jebat, Adira, Najwa Latif, Hafiz Hamidun, Caliph Buskers dan Asfan.

Pengunjung berpeluang menambah ilmu menerusi program program bicara bersama pakar motivasi, Prof Dr Muhaya Muhamad yang membincangkan topik Fesyen, Kesihatan dan Kecantikan.

Bagi segmen Refleksi Muslimah, Pengarah Kreatif Cosry yang juga pereka fesyen, Putra Aziz; bekas model, Suhara Omar dan pelakon Yana Shamsudin akan berbicara mengenai Cabaran Fesyen Muslimah Dalam Era Digital.

Antara selebriti tempatan yang akan membuka bazar jualan ialah Emma Maembong, Rozita Che Wan, Neelofa, Memey Suhaiza dan jenama besar fesyen Muslimah.

Berita Harian X