Ahad, 4 Oktober 2015 | 5:59pm

6 ditahan di Melaka bantu kes pegawai Imigresen di serang


KETUA Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Polis sudah menahan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian serangan ke atas pegawai Jabatan Imigresen Melaka ketika mengadakan operasi di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, semua yang ditahan berusia antara 24 hingga 57 tahun itu, ditangkap di dua tempat berasingan di sekitar Taman Melaka Raya pada Jumaat lalu dan semalam.

"Tangkapan pertama membabitkan empat lelaki berusia 24 hingga 57 tahun pada Jumaat kira-kira pukul 4 petang manakala tangkapan kedua seramai dua orang semalam kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

"Semua mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut dan polis akan memanggil pegawai Imigresen yang terbabit dalam serangan ini untuk melakukan kawad cam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Shaikh Abdul Adzis berkata, polis memandang serius tindakan menyerang pegawai imigresen berkenaan ketika menjalankan tugas.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan bagi menakutkan penjawat awam daripada melaksanakan tugasan.

Pada Khamis lalu media melaporkan 19 pegawai dan anggota imigresen diserang sekumpulan lebih 40 samseng ketika membuat pemeriksaan di sebuah premis hiburan di Taman Melaka Raya di sini pada Rabu.

-- BERNAMA

Berita Harian X