Isnin, 29 September 2014 | 8:51pm

Kaji semula aspek pembiayaan rumah mampu milik

PETALING JAYA: Bajet 2015 yang akan diumumkan pada 10 Oktober ini perlu mengkaji semula aspek pembiayaan bagi pembeli akhir untuk membeli rumah mampu milik.

Rakan Kongsi Urusan Chur Associate, Chris Tan Chur Pim, berkata bank-bank pada masa ini tidak mempunyai kewajipan seperti pemaju yang dikehendaki memasukkan elemen kos rendah bagi pembangunan tanah lebih daripada 4.47 hektar.

"Bolehkah kita mempunyai cara yang lebih mudah untuk mengeluarkan pembiayaan bagi pemilikan rumah terutamanya pada harga mampu milik.

"Mungkin ada kuota tertentu dikenakan ke atas bank-bank untuk mewajibkan mereka mengeluarkan pinjaman bagi rumah mampu milik mengikut had atau menggesa mereka melakukannya bagi asas tanggungjawab sosial korporat," katanya pada taklimat mengenai Sidang Kemuncak dan Ekspo Pelaburan Hartanah (Prism) 2014 di sini hari ini.

Tan berkata, skim pemaju tanggung kadar faedah (DIBS), yang dihapuskan tahun lalu bagi membendung spekulasi dalam sektor hartanah perlu diperkenalkan semula dalam Bajet 2015 khususnya bagi rumah mampu milik.

"Sekiranya DIBS dilaksanakan bagi rumah mampu milik, ia akan membolehkan pembeli terutamanya kumpulan berpendapatan rendah dikecualikan daripada membayar faedah hingga mereka menerima kunci rumah mereka.

"Orang kebanyakan berhak dapat DIBS ini, orang kaya tidak layak," katanya sambil menambah kerajaan harus menetapkan siling bagi rumah mampu milik.

"Adakah rumah mampu milik bermakna rumah berharga daripada RM500,000 ke bawah, RM400,000 ke bawah atau RM300,000 ke bawah?" tanyanya.

Siling perlu berbeza antara negeri, sebagai contoh di Kelantan, harga rumah mampu milik perlu lebih rendah memandangkan taraf hidup di sana, katanya.

Sementara itu, lebih 15,000 dijangka mengunjungi ekspo dua hari itu manakala 2,500 orang dijadualkan menyertai sidang kemuncak, bermula 1 November, yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia di Seri Kembangan.

Antara yang diketengahkan pada persidangan itu ialah topik mengenai prospek pasaran hartanah, analisis pasca bajet, kesan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan strategi pelaburan. - BERNAMA

Berita Harian X