Sabtu, 3 Oktober 2015 | 5:21pm

Zahid gesa orang Melayu kukuhkan perpaduan


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Asyraf Hamzah

KANGAR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menggesa orang Melayu dan ahli UMNO supaya mengukuhkan perpaduan agar menjadi lebih kuat dan dihormati bangsa lain yang mengharapkan UMNO sebagai tunjang pemerintahan negara.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ahmad Zahid berkata bangsa Cina dan India yang inginkan negara terus sejahtera mahu melihat perkara itu berlaku dalam kalangan orang Melayu.

Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Ahmad Zahid menyampaikan mesej itu semasa berucap pada perjumpaan tertutup dengan pemimpin-pemimpin UMNO Perlis di sini, hari ini.

"Bangsa-bangsa lain akan hormat pada satu pertubuhan yang kuat untuk bergantung dan boleh diharap mewakili mereka. Dalam hubungan ini ia adalah UMNO.

"Kekuatan kita sekarang terletak pada perpaduan...ini yang dimahukan oleh Timbalan Perdana Menteri. Oleh itu kita tidak boleh terus bermusuhan sesama sendiri...itu nasihat beliau," kata Shahidan kepada pemberita selepas perjumpaan tertutup itu.

Turut hadir dalam perjumpaan itu ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermiyati Samsudin; dan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Menurut Shahidan, pemimpin-pemimpin UMNO turut membangkitkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pekerjaan dan isu-isu semasa atas kepentingan rakyat yang dijawab oleh Ahmad Zahid.

Dalam isu lain, Shahidan berkata Perlis memohon Kerajaan Pusat menimbang permohonannya membenarkan semula pergerakan bebas di Wang Kelian yang ditarik balik 1 April lepas.

Katanya, kelonggaran itu penting agar aktiviti perniagaan di sempadan 'hidup' kembali namun beberapa syarat seperti kawalan tambahan untuk membendung pendatang asing tanpa izin daripada masuk ke negara ini dan perniagaan mesti diusahakan rakyat tempatan sebelum permintaan itu boleh dipenuhi.

- BERNAMA

Berita Harian X