Sabtu, 3 Oktober 2015 | 12:03am
KILANG elektronik memerlukan bekalan air tulen dan fenomena penerobosan air masin mungkin akan menyebabkan operasi kilang seumpama ini terjejas. - Foto NSTP
SEKTOR pertanian khususnya penanaman padi di sekitar daerah Muar serta Ledang akan terjejas jika masalah penerobosan air masin di Sungai Muar tidak ditangani dengan segera. - Foto NSTP
SUNGAI Muar pernah menjadi lokasi kegemaran pemancing berikutan pelbagai spesies ikan yang mendiami habitat itu. - Foto NSTP
PENEROBOSAN air masin di Sungai Muar bertambah teruk apabila berlaku pencerobohan tanah rizab sungai, yang bukan sahaja mengurangkan bekalan air bersih, malah menjejaskan ekonomi. - Foto NSTP

Kaji sistem dan keupayaan sungai, elak pencemaran


KERAJAAN disaran supaya mengkaji semula lokasi loji rawatan air di seluruh negara yang disifatkan tidak lagi sesuai untuk digunakan sebagai kawasan pengambilan air bersih demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

Ini kerana pendekatan lama yang sering dilakukan oleh kerajaan iaitu membina loji rawatan air di kawasan hilir sungai, tidak lagi sesuai dan didapati berisiko tinggi berhadapan ancaman pencemaran, pembangunan dan kependudukan tinggi, yang menjejaskan kualiti air.

Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata masalah itu perlu diambil serius kerana ia adalah isu nasional, yang membabitkan keperluan dan kepentingan pelbagai pihak.

"Jika tiada usaha diambil segera, saya khuatir kita akan berhadapan krisis air yang lebih kritikal pada masa depan," katanya sambil menambah kawasan hilir dipilih disebabkan ia terletak berdekatan dengan kawasan penempatan dan membabitkan kos pengendalian yang lebih rendah.

Sudah sampai masanya, kata Prof Ibrahim, bekalan air bersih diambil di kawasan lebih hulu, yang mempunyai tahap kualiti air lebih baik.

KEADAAN Sungai Muar di sebelah hulu. - Foto NSTP

Beliau yang juga Felo Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kerajaan juga perlu mengeluarkan belanja yang lebih besar untuk pengendalian proses air, merangkumi kaedah rawatan air yang lebih teliti jika sumber air tercemar.

Beliau berkata, antara alternatif lain yang boleh dilakukan adalah mengekalkan loji rawatan air sedia ada, tetapi perlu mengambil sumber air di bahagian hulu sungai dengan menggunakan sistem paip.

Beliau menjelaskan, kajian lebih terperinci juga perlu dijalankan bagi memahami sistem hidrologi dan keupayaan sungai kerana setiap sungai mempunyai keupayaan berbeza.

"Ia perlu difahami sebaiknya bagi menangani sebarang masalah yang menjejaskan fungsinya sebagai sumber air bersih. Seperti sungai yang lain, Sungai Muar juga adalah satu sistem pengangkutan air yang lazimnya membabitkan air hujan dari kawasan bukit atau gunung di bahagian hulu ke kawasan dataran rendah hingga ke laut.

"Bagi memahami situasi yang berlaku di Sungai Muar, adalah amat penting untuk mengenal pasti keseluruhan sistem sungai berkenaan, termasuk morfologi lembangan atau kawasan di mana semua curahan hujan berkumpul, ketinggian kawasan hulu serta paras muara sungai," katanya.

Jelasnya, morfologi lembangan mencakupi paras tertinggi di kawasan hulu hingga ke paras terendah di muara sungai. Sungai yang mengalir dari tanah tinggi boleh mengalirkan air dengan deras, bertenaga aliran yang kuat dan boleh sampai ke kawasan laut dengan pantas.

"Sungai Muar adalah sungai yang berada dalam kategori sungai yang mengalir di dataran rendah yang luas. Keadaan ini menyebabkan kuasa aliran airnya menjadi lebih rendah dan perlahan serta tidak dapat sampai ke laut dengan cepat.

Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo

"Disebabkan keadaan ini, Sungai Muar amat dipengaruhi proses pasang dan surut air laut. Ketika air pasang, paras air laut yang lebih tinggi menyebabkan air masin boleh mengalir hingga puluhan kilometer ke bahagian hulu yang berada di daratan.

"Keadaan ini akan menjadi lebih teruk sekiranya sungai seperti Sungai Muar ini mengalami gangguan seperti pencerobohan di bahagian rizab sungai. Ia boleh menyebabkan hakisan pada tebing yang boleh mencetekkan lagi paras dasar sungai hingga menyebabkan aliran sungai menjadi lebih perlahan.

"Jika keadaan ini terus berlaku, penerobosan air masin dikhuatiri akan dapat masuk lebih jauh ke bahagian hulu sungai sekali gus menjejaskan kualiti air mentah di situ," katanya.

Ibrahim berkata, masalah itu perlu ditangani segera kerana ia juga boleh menjejaskan dan mengubah landskap ekosistem. Lebih membimbangkan, keadaan itu boleh menyebabkan kerugian besar pada negara.

"Bayangkan tanaman yang memerlukan kuantiti air tawar ini tidak dapat mendapat bekalan air yang secukupnya dan akhirnya akan berlaku krisis makanan.

"Begitu juga dengan hasil tangkapan seperti spesies ikan air atau udang air tawar yang boleh mati akibat perubahan air sungai ini. Apa yang lebih dibimbangi ialah kita sebagai pengguna air terbesar ini juga akan berisiko tinggi berdepan krisis air kelak," katanya.

Masalah yang melanda Sungai Muar dikatakan punca kekurangan udang galah di sungai itu. Malah, ada yang mendakwa hidupan laut yang memberi pendapatan lumayan kepada penduduk sekitar kini sudah pupus. Ikuti kisah seterusnya, esok.

MUARA Sungai Muar yang sering menjadi lokasi untuk rekreasi dan memancing. - Foto NSTP

INFO:

  • Seluas 19,346 hektar dari keseluruhan 4,801,007 hektar tanah kerajaan bagi kategori Hutan Simpanan Kekal (HSK) di seluruh negara diceroboh untuk tujuan pertanian.
  • Sehingga 2014, sebanyak 34,381 kes pencerobohan tanah dikesan di seluruh negara bagi tujuan pembinaan rumah dengan Sarawak dan Perak mencatatkan kes tertinggi dengan masing-masing mencatat kes sebanyak 19,101 dan 14,282. Daripada jumlah keseluruhan itu, hanya 1,253 kes yang sudah diambil tindakan.
  • Kira-kira 20 peratus keluasan hutan paya bakau di setiap negeri di Malaysia hilang setiap tahun akibat pencerobohan tanah bagi tujuan pertanian, ternakan ikan dan udang, selain faktor hakisan.
  • Kerajaan kehilangan pendapatan kira-kira RM10.7 juta setiap tahun akibat kes pembalakan haram, tetapi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Transparency International Malaysia mendakwa kerugian yang dialami lebih tinggi iaitu kira-kira RM800 juta.
  • Pencerobohan di kawasan punca sumber air khususnya sungai menyebabkan 54 daripada 577 sungai yang diawasi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diklasifikasikan sebagai tercemar dan tidak boleh digunakan sebagai sumber air minuman. Sungai ini tercemar dengan kandungan kimia dan biologi yang disebabkan pembuangan sisa pertanian, industri dan kediaman.
  • Statistik JPS sehingga 2013 menunjukkan 223 pantai yang membabitkan sepanjang 4,809 kilometer di seluruh negara turut berdepan dengan masalah hakisan.
Berita Harian X