Jumaat, 2 Oktober 2015 | 12:05am
DIDIK diri bersyukur dengan nikmat Tuhan. - Foto hiasan

Hikmah al-Quran: Utamakan hidup sederhana, adil

FIRMAN Allah SWT, "Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 143)

Syeikh Muhammad Mutawalli Al-Sya'rawi dalam tafsirnya menyebut, ayat ini adalah ingatan Allah SWT bahawa antara nikmat-Nya ialah menjadikan kita umattan-wasatan iaitu umat pertengahan, adil dan pilihan. Setiap disyariatkan SWT dikategorikan sebagai nikmat kepada orang yang beriman.

Makna umat pertengahan

Antara makna umat pertengahan ialah pertengahan dalam soal iman dan aqidah. Di antara manusia ada yang mengingkari kewujudan Tuhan dan di satu pihak lain pula bersikap melampau batas dengan menyembah tuhantuhan yang mereka wujudkan sendiri.

Firman Allah SWT, "Allah tidak sekali-kali mempunyai anak dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersama-Nya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan bersendirian dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain." (Surah al-Mukminun, ayat 91)

Ketika kedatangan Islam, orang Yahudi dikenali sebagai manusia yang sangat rakus dengan kemewahan dunia. Mereka mengumpul kekayaan dengan cara batil melalui riba dan cara yang haram lainnya.

Orang Nasrani pula memandang kebaikan itu dengan cara meninggalkan segala bentuk kesenangan dan kekayaan serta menumpukan sepenuh-nya kepada cara hidup rahib. Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW menyanggah kedua-dua jalan hidup ini.

Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya harta ini ibarat buah segar yang manis, maka barang siapa yang mengambilnya dengan hati yang lapang (tidak rakus dan memaksa orang lain) maka dia akan diberkati untuknya, dan barang siapa yang mengambilnya dengan hati yang rakus (memaksa orang lain) maka dia tidak akan diberkati untuknya ibarat orang yang makan dan tidak pernah kenyang, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah." (Riwayat Bukhari)

Tidak menyimpang

Islam ialah agama pertengahan yang menyarankan kita sentiasa berada pada jalan lurus dan tidak menyimpang ke kanan atau ke kiri.

Firman Allah SWT, "Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang mereka telah tersesat ( jauh) dari jalan yang betul." (Surah al-Maidah, ayat 77)

Terdapat orang yang melakukan ibadah secara berlebihan sehingga menyimpang ke kanan dengan melakukan perbuatan bidaah, manakala satu pihak lagi menyimpang ke kiri dengan mengabaikan segala larangan Allah dan mengingkari-Nya.

Sesungguhnya Islam menjadikan pertengahan ini sebagai keutamaan dalam segala perkara yang berkaitan dengan agama dan dunia. Dalam urusan ibadah, Islam melarang beribadah secara berlebihan sehingga sampai ke peringkat memudaratkan diri, manakala dalam urusan pengurusan kehidupan, dilarang melakukan pembaziran dan penjimatan yang melampau.

Firman Allah SWT, "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Surah al- Furqan, ayat 67)

Kesederhanaan dan pertengahan juga memberi maksud keadilan seperti sabda Rasulullah SAW, "(Pertengahan itu keadilan, kami jadikan kamu umat pertengahan)." (Riwayat Ahmad) Sehingga kepada peringkat hubungan dengan bukan Islam, nilai keadilan ini tetap menjadi keutamaan dan dipertahankan.

Firman Allah SWT, "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil." (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Kesederhanaan ajaran Islam

Inti pati kesederhanaan ajaran Islam ini diungkapkan begitu indah oleh sahabat bernama Rubie bin Amir yang ditanya panglima perang Parsi ketika itu, Rostum, tujuan utama kedatangan beliau.

Rubie menjawab: "Allah yang mengutuskan kami untuk kami keluarkan sesiapa yang dikehendaki Allah daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan hidup dunia kepada keluasan hidup dunia dan akhirat."

Pertengahan serta kesederhanaan Islam meliputi hubungan antara agama dan dunia, antara dunia dan akhirat, antara pemimpin dan rakyat, antara manusia dan alam, antara kebenaran dan kekuatan serta antara nas agama dan pemikiran manusia. Allah yang menurunkan al-Quran maka Dia juga yang mengurniakan al hikmah.

Firman Allah SWT, "Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (al-Quran) serta hikmah (pengetahuan yang mendalam) dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkan-Nya kepadamu amatlah besar." (Surah an-Nisa, ayat 113)

Nabi Muhammad SAW akan menjadi saksi ke atas umatnya manakala umat ini juga akan ditanya apakah mereka menyampaikan ajaran Islam kepada orang lain kerana seluruh umat wajib menyampaikan serta menzahirkan keindahan dan keadilan Islam kepada semua umat manusia.

79 dibaca
Berita Harian X