Khamis, 1 Oktober 2015 | 2:32pm
JANGKITAN HIV di negara ini berkurangan secara drastik sejak Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan serta Terapi Gantian Metadon diperkenalkan pada 2006. - Foto hiasan

Jangkitan HIV turun sejak 2006 - MAC

KOTA BHARU: Jangkitan HIV di negara ini berkurangan secara drastik sejak Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan serta Terapi Gantian Metadon diperkenalkan pada 2006, kata Pengarah Eksekutif Majlis AIDS Malaysia (MAC), Dr Ilias Adam Yee.

Dr Ilias Adam berkata, pada tahun lepas, kadar jangkitan HIV adalah sebanyak 11.69 per 100,000 populasi berbanding 21.88 per 100,000 populasi pada 2006.

"Bila kita perkenalkan sahaja program ini, jumlah kes baharu HIV turun dengan drastik kerana sebelum itu, cara transmisi HIV yang paling besar adalah melalui perkongsian jarum dan alat suntikan," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi taklimat sempena Lawatan Media Antarabangsa Berhubung Pengurangan Kemudaratan di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita (SAHABAT), Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim; Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir; dan Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, DSP Roslan Yusof.

Dr Ilias Adam berkata, antara matlamat utama program berkenaan adalah untuk mengurangkan penularan jangkitan HIV di Malaysia serta penyakit bawaan darah lain seperti Hepatitis dan sebagainya.

"Keduanya apabila kita mengedarkan jarum, kita berinteraksi dengan klien dan menjalin hubungan baik dengan klien agar mereka dapat rujuk untuk mendapatkan rawatan.

"MAC telah mengedarkan sebanyak 5,153,578 bilah jarum suntikan kepada 83,608 klien yang berdaftar secara kumulatif dengan pertubuhan ini," katanya.

Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan serta Terapi Gantian Metadon adalah inisiatif di bawah Program Pengurangan Kemudaratan yang dilancarkan secara bersama oleh Kementerian Kesihatan dan MAC serta anggota gabungan pada 2006.

- BERNAMA

Berita Harian X