Khamis, 1 Oktober 2015 | 11:28am

Mahkamah benar Tony Pua cabar larangan ke luar negara


Tony Pua

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi sebentar tadi membenarkan permohonan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar perintah sekatan yang menghalangnya ke luar negara.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu dalam kamar beliau.

Turut dihadiri, peguam Gobind Singh Deo mewakili Pua dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bagi pihak Ketua Pengarah Imigresen serta Kerajaan Malaysia selaku responden pertama dan kedua.

Asmabi kemudian menetapkan 15 Oktober ini bagi pengurusan kes.

Pada 19 Ogos lalu, Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar perintah sekatan terhadapnya yang dikeluarkan Ketua Pengarah Imigresen.

Pua, dalam permohonannya, berkata Ketua Pengarah Imigresen menghalangnya keluar negara pada 22 Julai lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang.

Beliau mendakwa tidak diberikan notis berhubung perintah itu atau sebarang peluang untuk didengar, selain mendakwa keputusan itu tidak munasabah, tidak adil dan mala fide (berniat jahat).

Sehubungan itu, beliau menuntut perisytiharan bahawa perintah larangan itu bertentangan peruntukan undang-undang, tidak sah serta terbatal.

Beliau turut menuntut ganti rugi khas dan kos daripada defendan.

Berita Harian X