Rabu, 30 September 2015 | 6:38pm

Ibu bapa perlu awasi aktiviti anak, elak kesan buruk jerebu


MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Ibu bapa dinasihatkan sentiasa mengawasi aktiviti anak masing-masing berikutan situasi jerebu yang melanda di beberapa negeri.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata ibu bapa juga perlu memastikan anak mereka menjalankan aktiviti dalam kawasan tertutup supaya tidak terdedah kepada jerebu.

"Ibu bapa juga perlu mengawasi tahap kesihatan anak masing-masing dan segera mendapatkan pemeriksaan doktor jika anak jatuh sakit kesan jerebu ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Rohani berkata, ibu bapa perlu mengambil langkah proaktif dengan membekalkan anak dengan topeng muka untuk dipakai dalam keadaan berjerebu bagi mengurangkan risiko gangguan kesihatan.

Beliau turut menasihatkan pengusaha Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) mengurangkan kegiatan dan aktiviti luar untuk kanak-kanak.

"TASKA perlu sentiasa memantau keadaan semasa bagi mengelakkan kanak-kanak terdedah dengan jerebu,"katanya.

11 dibaca
Berita Harian X