Rabu, 30 September 2015 | 6:19pm

United miliki peluang realistik menang EPL, Eropah

PASUKAN Manchester United, sedang menjalani latihan. - Foto EPA

MANCHESTER: Louis van Gaal berkata, Manchester United memiliki peluang 'realistik' untuk memenangi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika kontraknya berakhir pada 2017.

Pengendali berkenaan memenangi gelaran liga domestik bersama setiap kelab yang dibimbingnya dan turut menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama kelab Belanda, Ajax pada 1995 selain naib juara ketika bersama Bayern Munich pada 2010.

"Adalah realistik untuk menjangkakan kami memenangi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara (sebelum kontrak saya berakhir) kerana saya melakukannya di mana saja," katanya kepada wartawan menjelang pertembungan Liga Juara-Juara bertemu VfL Wolfsburg di Old Trafford, awal pagi ini.

United ketika ini menghuni tangga teratas EPL selepas tujuh perlawanan namun memulakan kempen Eropah dengan langkah kiri apabila tewas 2-1 kepada PSV Eindhoven pada perlawanan pertama.

"Kami sudah meningkat apabila kami perlu membandingkan kami dengan pasukan tahun lalu, namun kami masih memerlukan masa," kata bekas pengurus kebangsaan Belanda itu.

"Kami perlu meningkat untuk memenangi Liga Perdana atau kejohanan seperti Liga Juara-Juara."

Van Gaal berkata, dia masih merancang untuk meninggalkan United selepas kontraknya tamat pada 2017, menepati janji terhadap isterinya yang dia akan bersara seperti dirancang.

"Secara normal saya harus pergi selepas tahun depan namun apa yang normal dalam bola sepak dunia ketika ini? Kamu tidak akan tahu jadi saya tidak boleh menjawab soalan itu," kata Van Gaal.

"Namun saya berjanji kepada isteri saya untuk pergi bersamanya ke tempat idaman (villa di Portugal) jadi ia sepatutnya menjadi amat sukar buat saya untuk melanggar janji itu.

"Tahun depan saya berusia 65 tahun dan berkata saya akan kekal untuk setahun lagi, jadi ia adalah berat untuk isteri saya," katanya. - REUTERS

Berita Harian X