Rabu, 30 September 2015 | 12:01am

Malaysia-Indonesia kawal jenayah sempadan bersama

MOHD Mukhris memberi penerangan kepada anggotanya sebelum memulakan rondaan. - Foto Mohd Roji Kawi

KAWALAN secara menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan situasi keselamatan sempadan negara di Sarawak dan Kalimantan Barat sentiasa terkawal daripada ancaman, khususnya aktiviti jenayah lintas sempadan dan pemerdagangan manusia.

Pelbagai pendekatan diambil, termasuk meningkatkan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Darat (TNI-AD).

Justeru, Divisyen Pertama Infantri yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan Sarawak dan Komando Daerah Militer XII/Tanjungpura (KODAM Tangjungpura), yang memantau wilayah Kalimantan Barat, Indonesia, berpakat untuk meneruskan rondaan bersama.

Rondaan bersama anggota pasukan infantri kedua-dua negara itu yang dikenali sebagai Patroli Terkoordinasi (PATKOR), membabitkan kawasan sempadan di antara Biawak (Sarawak) dengan Sajingan (Kalimantan Barat), dilaksanakan selama seminggu bermula 6 September lalu.

PATKOR Siri 1/2015 membabitkan kawasan sempadan sepanjang hampir 30 kilometer iaitu dengan anggota Rejimen 4, Kor Armor Diraja (KAD), memulakan rondaan dari Kendaie hingga Biawak.

Anggota Batalion 644, Walet Sakti TNI-AD pula, memulakan rondaan dari Sajingan hingga Biawak.

ANAK didik Arul meraikan kejayaan meraih tempat ketiga Piala Sultan Johor, baru-baru ini.

Rejimen 4 KAD dan 644 Walet Sakti masing-masing menyediakan satu platun dengan seorang pegawai dan 30 anggota lain-lain pangkat dalam operasi berkenaan.

Pegawai Memerintah 644 Walet Sakti, Leftenan Kolonel Infantri Marsana, berkata sebagai kesinambungan operasi terdahulu, PATKOR Siri 1/2015 akan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, operasi dirancang dan diselenggara bersama dengan menyelaras kawasan yang sudah dikenal pasti.

"PATKOR Siri 1/2015 ini menyatu dan mengukuhkan kerjasama sedia terjalin antara anggota tentera kedua-dua negara.

"Kerjasama di sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat ini membabitkan rondaan bertujuan membanteras jenayah lintas sempadan.

"Rondaan membanteras penyeludupan, mengesan lorong tikus, pembalakan haram dan aktiviti lain yang mampu menggugat keselamatan di sempadan kedua-dua negara," katanya.

KETUA Platun 644 Walet Sakti, Leftenan Satu Agus Suprayitno, memberi penerangan kepada anggota TNI-AD. - Foto Mohd Roji Kawi

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan PATKOR Siri 1/2015 di Pos Gabungan Malaysia - Indonesia di Sajingan, Kalimantan Barat, Indonesia, baru-baru ini. Yang turut hadir, Pegawai Memerintah Rejimen 4 KAD, Leftenan Kolonel Zulhaime Ayob,

Marsana berkata, setiap anggota yang terbabit dalam PATKOR Siri 1/2015 harus berpegang kepada semangat kerjasama yang sedia terjalin di antara kedua-dua negara dalam melaksanakan operasi itu dengan penuh tanggungjawab.

"Kita melaksanakan rondaan bersama di kawasan sensitif.  Oleh itu, kita harus mengekalkan keakraban yang sudah kita bina demi memastikan operasi berjalan lancar.

"Kerjasama Malaysia-Indonesia ini harus kita perkukuh demi mencipta keamanan di sempadan bersama," katanya.

Sementara itu, Ketua Platun Rejimen 4 KAD, Kapten Mohd Mukhris Mohd Nor, berkata beliau bangga diberi kepercayaan mengetuai trup TDM untuk melaksanakan operasi bersama.

"Saya dan semua anggota pasukan akan melaksanakan operasi ini sebaik mungkin demi mencapai matlamat dalam memastikan keamanan kawasan sempadan terjamin.

"Anggota kami cukup bersemangat melaksanakan misi ini dan saya percaya anggota pasukan TNI juga bersemangat sama," katanya.

INFO:

  • PATKOR adalah lanjutan daripada beberapa siri rondaan bersama yang dilaksanakan antara pasukan keselamatan Malaysia dengan Indonesia selepas mesyuarat pertama Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang diadakan pada tahun 1972.
  • PATKOR bukan hanya diadakan di sempadan darat, malah turut diadakan di kawasan perairan menerusi Patroli Terkordinasi Operasi Tindakan Maritim Malaysia-Indonesia (PATKOR Optima).
  • PATKOR Optima membabitkan agensi penguat kuasa maritim seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Marin, Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) bersama Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Laut (TNI - AL) dan Polisi Air Republik Indonesia.
  • Kerjasama kawalan keselamatan dan mencegah jenayah lintas sempadan itu turut dilaksanakan penguat kuasa kastam menerusi Operasi Patroli Laut Terkoordinasi Kastam Malaysia-Indonesia (PATKOR KASTIMA).
  • Pelaksanaan PATKOR bertujuan mengeratkan hubungan dua hala, khususnya berkaitan keselamatan dan keamanan kedua-dua negara. Persetujuan ini dicapai menerusi perjanjian GBC Malaysia - Indonesia, 43 tahun lalu.
Berita Harian X