Selasa, 29 September 2015 | 4:14pm

Malaysia mampu harungi cabaran krisis ekonomi global: Noraini


PENGERUSI Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Noraini Ahmad. - Foto Jeakqleyn Yacho

KUCHING: Malaysia diyakini mampu mengharungi cabaran krisis ekonomi global ketika ini melalui lebihan dagangan yang konsisten sejak 17 tahun lalu, selain turut didorong oleh prestasi eksport yang cukup memberangsangkan.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Noraini Ahmad, berkata keyakinan itu turut diperkukuhkan melalui inisiatif kerajaan menubuhkan Majlis Eksport Negara awal tahun ini yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Penubuhan Majlis Eksport Negara bertujuan merangsang aktiviti eksport di Malaysia, sekali gus menjamin lebihan dagangan kita kekal positif menjelang akhir tahun ini di sebalik ketidaktentuan ekonomi di peringkat global.

"Malah, langkah kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi baru-baru ini turut disifatkan sebagai langkah bijak memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mapan, seterusnya mengekalkan momentum eksport sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Forum Pengeksport Malaysia 2015 (MEF2015) di sini pagi tadi yang dianjurkan MATRADE dengan sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak.

Ia dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Promosi dan Pelaburan) negeri, Datuk Julaihi Narawi yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pengeksport MATRADE, Silmi Abdul Rahman dan Pengarah Wilayah MATRADE Sarawak, Leany Mokhtar.

Noraini berkata prestasi eksport negara berada pada landasan kukuh, malah melepasi sasaran ditetapkan dengan mencatatkan peningkatan 6.4 peratus atau RM766.13 bilion berdasarkan perangkaan tahun lalu.

"Ini didorong oleh aktiviti perdagangan aktif dari rakan dagangan terbesar Malaysia di peringkat global, khususnya China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat dan Thailand, sekali gus melonjakkan Malaysia ke tangga 25 dalam aspek perdagangan.

"Ia turut menjadikan Malaysia sebagai negara pengeksport ke-23 terbesar antara 200 negara di dunia tahun lalu. Bagi Malaysia sebagai sebuah negara yang kecil populasinya, pencapaian itu perlu dibanggakan kerana dapat berdaya saing, seterusnya menempatkan diri antara kelompok teratas perdagangan dan eksport global," katanya.

Noraini berkata, pasaran luar negara amat penting bagi Malaysia untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui sumbangan eksport Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara secara konsisten.

"Kita mensasarkan sumbangan eksport dari PKS meningkat kepada 25 peratus pada 2020 berbanding 19 peratus tahun 2010 sejajar dengan potensi besar pasaran eksport di peringkat global.

"Justeru, pengeksport dan usahawan PKS digesa untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam pasaran eksport, sekali gus mendorong hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara perdagangan utama di dunia," katanya.

Sementara itu, Adenan dalam ucapan perasmiannya menyatakan penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen berterusan Kerajaan Pusat, khususnya MITI meningkatkan prestasi eksport negeri melalui pelbagai inisiatif dilaksanakan MATRADE.

"Kita amat berbangga apabila Sarawak disenaraikan sebagai negeri keempat menyumbang kepada pertumbuhan mapan ekonomi negara, terutama dalam aktiviti eksport membabitkan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negeri.

"PKS Sarawak turut mencatatkan sumbangan signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara apabila merekodkan RM25 billion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain mewujudkan 240,000 peluang pekerjaan di seluruh negeri sehingga kini," katanya.

Adenan berkata, kewujudan sistem perhubungan moden dan efisyen, khususnya Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang rancak dalam pembinaan ketika ini turut diyakini mampu meningkatkan prestasi perdagangan negeri, khususnya ke negara berjiran iaitu Brunei Darussalam dan Wilayah Kalimantan, Indonesia.

"Ini juga satu lagi inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Pusat, bukan hanya untuk membawa pembangunan kepada rakyat negeri ini, malah diyakini turut mampu menghasilkan impak positif kepada negeri, terutama dalam konteks perdagangan rentas sempadan," katanya.

Berita Harian X