Isnin, 28 September 2015 | 12:07am
EMANG Wan menunjukkan sape yang dipamerkan pada majlis perasmian Festival BSMKL 2015. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ALUNAN sape dipercayai mampu pulihkan penyakit. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ORANG ramai melihat ruang tapak pameran sape pada majlis perasmian Festival BSMKL 2015. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
TIMBALAN Ketua Pengarah Sektor Dasar dan Perancangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohamad Rozy Mohamad Nor (kiri) melawat tapak pameran sape di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Alunan sape pulihkan penyakit

MENDENGAR alunan muziknya bukan saja boleh memberi ketenangan, bahkan dikatakan mampu menjadi pemangkin semangat dan menghilangkan tekanan selepas seharian bekerja.

Itu antara keunikan alat muzik tradisional masyarakat Orang Ulu di Baram, Miri, yang dipercayai bermula sejak 300 tahun lalu dan dikenali sebagai sape serta terkenal dalam kalangan kaum Kanyan-Kenyah.

Pendedahan mengenai keindahan sape yang kurang menonjol dalam masyarakat terutama di Semenanjung dikongsi oleh pakar seni muzik berkenaan pada sesi Bengkel Pertandingan Baram Sape Master Kuala Lumpur 2015 di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pemenang Baram Sape Master Kuala Lumpur 2014, Batu Emang, yang menjadi antara penceramah bengkel itu berkata, alat muzik sape dianggap luar biasa bagi masyarakat Orang Ulu terutama pada zaman dahulu kerana `keupayaannya' mengubati penyakit.


PERSEMBAHAN sape pada majlis perasmian Festival BSMKL 2015 di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Memang pelik apabila alat muzik dikatakan boleh merawat penyakit tetapi itulah kisah yang diceritakan datuk nenek moyang kami kerana seakan-akan ada semangat di dalam sape sehingga orang yang sakit apabila mendengarnya boleh kembali sihat.

"Ia kisah lama ketika mereka belum menganut sebarang agama tetapi sape sehingga kini terus dipandang tinggi hingga menjadi pantang untuk orang melangkahnya atau mempermainkannya sebarangan.

"Bahkan daripada pemerhatian saya, kebanyakan pemain sape mewarisi bakat bermain muzik secara turun-temurun. Namun, hari ini, ramai juga masyarakat daripada kaum lain yang turut berminat dan mula belajar dan akhirnya mahir memainkannya," katanya.

Batu Emang menambah, beliau juga bersyukur kerana seorang anaknya, Watson Tasek Batu, 11, mewarisi bakatnya dalam memainkan alat muzik tradisional berkenaan, malah dikenali sebagai pemain sape termuda.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Baram Sape Master Kuala Lumpur 2015, Jeffrey Jalong, berkata mengikut kajian yang dilakukannya, sape yang menyerupai bentuk sampan itu antara alat muzik bertali daripada kumpulan 'lute' dipercayai mula dimainkan di Mesir sejak 1300 Sebelum Masihi (SM)

"Di kebanyakan negara Asia Tenggara, alat muzik dari keluarga lute ini wujud dengan keunikan tersendiri, termasuk dari segi corak hiasan, cara bermain, bunyi dan namanya.

"Sebagai contoh, alat muzik lute di Filipina dikenali sebagai Kutiyapi, manakala alat muzik dua tali kaum Batak di Sumatera Utara dipanggil Keccapi.

"Perbezaan antara alat muzik di setiap negara ini amat ketara, cuma yang paling dekat dan mirip dengan sape di Sarawak ialah alat muzik lute di Kalimantan," katanya.


PENGIAT seni sape, Batu Emang (kanan) bersama pelapis muda sape, Watson Tase Batu pada majlis perasmian Festival BSMKL 2015 di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Beliau berkata, kebanyakan lagu yang dimainkan oleh pemain sape ialah lagu rakyat masyarakat Orang Ulu, antaranya lagu `lane' atau sahabat sejati dan liling (pusing).

Pada majlis yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Dasar dan Perancangan, JKKN, Mohamad Razy Mohamad Nor itu, tiga pakar sape, termasuk Tokoh Orang Hidup yang diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan 2015, Mathew Ngau Jau, Batu Emang dan Ukung Mering, tampil membuat demonstrasi persembahan sape.

Mengenai pembuatan sape, pengusaha yang juga penggiat seni itu, Emang Wan ketika ditemui pada Pameran Alat Muzik Sape dan Kraf Tangan Masyarakat Orang Ulu berkata, prosesnya agak rumit terutama dalam pemilihan kayu bagi memastikan ia dapat menghasilkan bunyi yang berkualiti.

"Selalunya kami memilih kayu yang berusia ratusan tahun kerana ia dijamin kuat dan tahan, selain bunyinya juga lebih kuat serta sedap didengar.

"Antara kayu sesuai membuat alat muzik ini adalah kayu arau, pelaik dan merbau, manakala talinya menggunakan urat kayu pokok palma. Tetapi, kini kami lebih senang menggunakan tali pancing atau tali gitar," katanya.

"Ukiran yang menghiasi badan sape pula bergantung kepada cita rasa masing-masing kerana ada yang dilukis dan kemudian diukir dengan kebanyakannya menampilkan motif tradisional," katanya.

27 dibaca
Berita Harian X